Koleksi Sensasi

Edisi Merdeka: Si Bongkok Tanjung Puteri


Suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British. Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman. 

Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.

Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok. Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut. 

Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.

Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.

Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.

Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.

Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.

Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.

Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor. 

Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar. 

Akhirnya, di tepi pantai Tanjung Belungkur, dua beradik itu bersemuka buat kali terakhir. Pertelingkahan terus tercetus dengan masing-masing menegakkan prinsip yang tersemat di hati.

Panglima Putih terus membela Temenggung Abdul Rahman dan Si Bongkok terus mempertahankan hak kedaulatan Tengku Ali dan maruah tanah air daripada campur tangan British.

Pertengkaran hebat itu akhirnya berlarutan kepada pergaduhan. Kedua-dua pahlawan gagah perkasa itu bertempur hebat dan tangkas tetapi Panglima Putih tetap gagal membolosi keris ke jasad Si Bongkok lantaran kekebalan pahlawan itu.

Selepas melihat adiknya beriya-iya mahu membunuhnya walaupun beliau adalah abang kandung panglima diraja itu, Si Bongkok akhirnya pasrah. Beliau tidak sanggup membunuh adiknya sendiri atau melihat adiknya yang sudah dipengaruhi British, membunuhnya dirinya.

Ketika itulah, Si Bongkok membongkar rahsia kelemahan ilmu kebalnya. Beliau menikam dirinya sendiri dan di tepi pantai Tanjung Belungkur, berakhirlah riwayat dan perjuangan Si Bongkok demi membela tanah airnya yang tercinta. Pahlawan itu mati di atas pangkuan adiknya - disusun oleh malaysiasensasi