Koleksi Sensasi

Rundingan Baling 1955

Fail:Rashid Maidin Chin Peng Chin Tien 1955.jpg

Rundingan Damai Baling merupakan perundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Rundingan ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah Darul Aman, Malaysia pada 28 dan 29 Disember 1955.

Rombongan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumat sementara rombongan PKM terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.
Pada bulan Jun 1955, sepucuk surat dihantar oleh Parti Komunis Malaya dan ditandatangani oleh Ng Heng. Surat itu menyatakan tawaran rundingan kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Ng Heng sebenarnya ialah nama samaran Chin Peng.
Tawaran Chin Peng tidak dihiraukan oleh Kerajaan kerana PKM sudah lemah. Menurut ahli PKM, kerajaan Persekutuan ketika rundingan tersebut terlalu angkuh. Lagipun kerajaan dengan bantuan tentera negara-negara Komanwel hampir melumpuhkan pemberontakan bersenjata komunis di dalam hutan. Rundingan dengan komunis yang mahu PKM diiktiraf sebagai sebuah parti bebas tentulah tidak wajar.

Kerajaan Perikatan berjaya dalam pilihan raya di Tanah Melayu pada bulan Julai 1955. Pada bulan September 1955, kerajaan menabur 40 juta surat tawaran pengampunan beramai-ramai ke dalam hutan melalui kapal terbang. Tunku telah menarik balik tawaran pengampunan pada bulan Februari 1956.

Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ketua Bureau NGO, Ronnie Liu Tian Khiew dalam laman web DAP pada 5 Ogos 2005, mendakwa bahawa Chin Peng adalah salah satu faktor memaksa pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia. Tetapi ada pihak yang berpendapat bahawa cadangan Liu itu adalah kurang tepat kerana Parti Komunis Malaya sudahpun lemah dan terpaksa memohon perundingan dilakukan pada 1955. Malah, pihak kerajaan yang mengetahui kelemahan Parti Komunis Malaya menolak permintaan langsung Parti Komunis Malaya agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik.

Selain itu, sekiranya Parti Komunis Malaya memberi tekanan kepada pihak British, sudah pasti pihak British tidak akan melepaskan Tanah Melayu untuk merdeka kerana sekiranya Tanah Melayu jatuh ketangan komunis, ini akan menjejaskan bekalan bahan mentah yang amat diperlukan British bagi membangunkan semula industri mereka selepas Perang Dunia II.