Ditanam Hidup-Hidup 4 Jam

MyAdmin™ | 10/16/2010 |

http://3.bp.blogspot.com/_c3RvkfFZGq4/SxDb0GOM3XI/AAAAAAAACMc/i1wxXAhK6-A/S220/oden.jpg
RANCANGAN ‘luar biasa’ itu bermula sekitar 46 tahun lalu. Ketika itu, Datuk Omardin Mauju sering mendengar guru silatnya serta rakan seperguruan yang lebih tua menceritakan betapa gagah dan hebatnya pahlawan dulu. “Mat Kilau boleh ditanam hidup-hidup!” Begitu kata mereka setiap kali menceritakan kisah berkenaan kepada Omardin.
Mat Kilau..Pahlawan Pahang

Seterusnya beliau berusaha menjejaki kesahihan cerita berkenaan. Dicarinya naskhah lama yang mencatatkan kehebatan luar biasa pahlawan Melayu itu tetapi didapati tiada satu pun dokumen sejarah yang memperincikan kehebatan berkenaan. Lama kisah kemahiran luar biasa pahlawan Melayu itu menemani minda fikirnya. Difikirkannya berulang kali sehingga akhirnya Omardin nekad memutuskan suatu perkara yang tidak sanggup dilakukan sesiapa. Dengan keyakinan yang menebal terhadap kehebatan ilmu persilatan Melayu, beliau ingin membuktikan yang kemahiran luar biasa yang pernah dipelopori pahlawan Melayu dulu, benar dan dapat dilakukan.

Hari itu iaitu sekitar 1960-an, tanah di Simpang Empat, Melaka, dikorek sedalam kira-kira dua meter. Omardin yang ketika itu baru berusia 22 tahun, masuk dan berbaring di dalam lubang sempit berkenaan tanpa sebarang alat perlindungan. Dengan ruang untuknya bergerak amat terhad, keadaannya persis jenazah yang sedang dikebumikan dalam liang lahad.

Papan keranda kemudian diletakkan di atas jasadnya dan beberapa rakannya segera menimbuskan tanah untuk kembali menutupi lubang berkenaan. Hari itu, menjejaki kehebatan kemahiran pahlawan Mat Kilau, Omardin ditanam hidup-hidup. Seterusnya detik masa berlalu; saat berganti minit dan minit berganti jam, Omardin masih ditanam di dalam ‘liang lahad’ berkenaan.

Selepas beberapa lama, ‘kubur’ berkenaan kembali dikorek. Tanah yang menimbunkan jasad lelaki itu kembali dialih. Kira-kira dua meter mengorek, beberapa rakannya terlihat papan keranda yang menutupi jasad Omardin. Mereka mungkin tertanya-tanya keadaan Omardin ketika itu, berjam ditanam hidup-hidup, bagaimanakah keadaan rakan mereka itu? Dengan persoalan itu memenuhi ruang minda masing-masing, mereka mengangkat papan keranda berkenaan.

Omardin kembali membuka matanya dan hari itu, beliau membuktikan sesuatu yang amat luar biasa kepada dunia - kehebatan silat Melayu membolehkan pengamalnya ditanam hidup-hidup. Hari ini, 46 tahun sudah berlalu sejak kali pertama Omardin ditanam hidup-hidup. Bagi dirinya yang kini Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), pengalaman ditanam hidup-hidup itu sudah tujuh kali ditempuhinya dan dengan izin Allah SWT juga, beliau masih mampu bernafas setiap kali selesai melalui proses itu.

“Paling lama saya ditanam adalah kira-kira empat jam pada 1975 di Pulau Besar, Melaka. Ketika itu, krew penggambaran dari Jepun, Hong Kong dan Perancis datang membuat liputan bagi menyaksikan sendiri kehebatan pesilat Melayu. “Memang dahsyat sekali keadaan fizikal selepas saya dikeluarkan sehinggakan seorang jurukamera yang memiliki sakit jantung, jatuh dan meninggal dunia sebaik melihat keadaan saya selepas empat jam ditanam,” katanya.

Omarb din mengakui yang ditanam hidup-hidup bukanlah satu proses yang mudah atau boleh dilakukan sesuka hati oleh sesiapa saja. “Kekuatan fizikal bukan keutamaan, ia memerlukan ketahanan mental, kerohanian dan aspek dalaman seseorang yang kuat dan dalam silat, kami sememangnya diajar untuk menguasai aspek berkenaan,” katanya. Beliau menceritakan, sebaik tanah menutupi jasad, ketakutan yang menjelma sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu menemui maut, kepanasan dalam ruang yang amat sempit sehingga tidak boleh menggerakkan sebarang anggota tubuh mampu menyebabkan jantung berdegup kencang dan sesak nafas.

Pelbagai risiko bahaya boleh berlaku dan seseorang yang tidak memiliki kekuatan dalaman yang kuat, dikhuatiri akan menemui ajal dalam tempoh kurang tiga minit saja. “Tapi Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT dan latihan kerohanian serta kekuatan dalaman yang saya ada, saya dapat melalui proses itu dengan selamat seolah-olah saya pergi tidur saja. Paling lama saya ditanam kira-kira empat jam tapi saya yakin mampu lakukannya selama tujuh jam,” katanya.

Katanya, sebaik selamat dikeluarkan dan menonton kembali rakaman beliau ditanam hidup-hidup, beliau sendiri berasa ngeri melihat proses berkenaan dan tidak percaya yang beliau sanggup berbuat demikian. “Akan tetapi, saya buat semua ini bukan kerana takbur tetapi demi membuktikan yang silat Melayu ini hebat dan cerita kehebatan pahlawan dulu yang memiliki pelbagai kemahiran luar biasa adalah benar, satu fakta dan bukannya misteri.

“Masyarakat kita mengagungkan seni mempertahankan diri dari luar negara tetapi tidak sedar yang kita sendiri memiliki seni mempertahankan diri yang amat menakjubkan,” katanya. Selain ditanam hidup-hidup, kekuatan ilmu persilatan yang dipelajari beliau menyebabkan Omardin tidak cedera ketika ditetak dengan senjata tajam, disiram dengan minyak panas dan terjun dari ketinggian bangunan dua tingkat serta boleh melakukan pelbagai aksi luar biasa lain dengan selamat.

Katogeri:

Koleksi Sensasi Sedunia