Koleksi Sensasi

Edisi Merdeka: Mat Kilau Pahlawan Pahang

Di Pahang, terdapat begitu ramai sekali pahlawan-pahlawan yang berjuang menentang pencerobohan British. Salah seorang yang sempat hidup dan meceritakan perjuangan tersebut adalah Mat Kilau. 

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau mendirikan tangga dengan Yang Chik, iaitu anak kepada guru agamanya sendiri Imam Daud, Kampung Kedondong, Jerantut.

Susuk tubuh ini pernah menjadi igauan ngeri kepada British 
Mat Kilau mula belajar silat secara serius selepas beliau berkahwin.Beliau menuntut ilmu persilatan dari bapanya sendiri Tok Gajah yang juga merupakan pahlawan Pahang. Bapanya pernah bersama Datuk Bahaman pernah terlibat dalam Perang Kelang di Selangor sewaktu pertikaian antara Raja Mahadi dan Tengku Kudin.

Kehidupan aman beliau tidak lama apabila British mula masuk campur dalam urusan pentadbiran negeri Pahang. Semua pembesar tidak senang dengan tindakan tersebut. Datuk Bahaman adalah orang yang paling kuat menentang British di Pahang.

Akhirnya perang meletus, pahlawan-pahlawan Pahang bermati-matian mempertahankan negeri yang makmur ini daripada cengkaman penjajah. Namun, ada juga pembesar yang tidak sehaluan dengan mereka dan lebih memihak kepada Britis yang penuh tipu muslihat itu.

Mat Kilau adalah antara beberapa orang pemuda yang turut sama menyertai perjuangan itu. Selain beliau dan Datuk Bahaman, nama-nama besar yang pernah terlibat dalam perjuangan ini ialah Mat Lela,Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Pawang Nong di Jerantut. Angkatan mereka bertambah kuat apabila disertai sendiri oleh Tok Gajah. Mereka mendapat sokongan padu dari rakyat, dan ini menyebabkan British menambah hebatkan lagi fitnah mereka.

Pertempuran demi pertempuran terjadi, bermula dari Lubuk Terua di Lanchang, Pahang sehinggalah kesemua pahlawan-pahlawan ini akhirnya terpaksa bersembunyi di Terengganu.

Di Terengganu mereka dibantu oleh Tokku Paloh, seorang ulama yang terkemuka di negeri tersebut. Perjuangan mereka bagaikan tidak bermakna apabila pemerintah pada ketika itu tidak memberikan sokongan kepada mereka, malah turut menyerang mereka dan Mat Kilau serta angakatanya terpaksa melarikan diri sehingga Ke Siam.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Selepas itu, berita mereka semua bagaikan sudah tiada lagi. Namun sebenarnya mereka masih hidup. Mat Kilau memakai banyak gelaran seperti Mat Siam, dan Datuk Bahaman pula dikatakan menggunakan nama Tok Guru Peramu. Namun, Datuk Bahaman tidak pernah mengistiharkan dirinya sebagai Datuk Bahaman. Malah kerajaan negeri pun seakan tidak mahu menyiasat perkara itu. 

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar. Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.


Abu Bakar, manantu Mat Kilau
Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.

Menurut cerita orang, selepas mengistiharkan diri, beliau telah diserang penyakit. Mulutnya menjadi herot. Lalu dibawa berubat dengan Tok Guru Peramu, dan Tok Guru Peramu memarahi Mat Kilau, katanya mulut Mat Kilau Jahat. Sementara itu, Mat Lela pula ketika mendapat tahu hal itu mengatakan bahawa Mat Kilau hendak mati, kerana itu dia mengistiharkan diri. Mat Lela juga ketika itu tinggal di Kuantan.

Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut. Jasanya sudah tiada..namun semangatnya masih ada....Al Fatihah untuk kesemua pejuang-pejuang bangsa ini. Semoga Allah merahmati usaha dan perjuangan murni kalian..Amin - MalaysiaSensasi.Net

Pautan Berkaitan