Koleksi Sensasi

Dua Beradik Dirantai, Dibiar Lapar

Dua beradik berusia enam dan dua tahun diperlakukan seperti haiwan oleh bapa sendiri yang mengikat kaki mereka dengan rantai besi selain dikurung dalam tandas serta dibiarkan kelaparan.

Bapa mereka yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran meninggalkan kedua-dua anaknya itu dalam keadaan kaki berantai di rumah mereka di Jalan Raja Uda di sini kerana terlalu nakal.

Dua beradik itu ditinggalkan tanpa makanan kira-kira empat jam sebelum mereka diselamatkan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Zulkifli Alias berkata, jiran yang terdengar tangisan dua beradik itu menghubungi pasukan ronda sukarela Taman Mawar, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Pihak berkuasa memecah masuk ke dalam rumah itu menerusi pintu depan untuk menyelamatkan dua beradik tersebut," katanya.

Ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya di sini, kanak-kanak perempuan itu berkata, mereka menjerit meminta pertolongan kerana takut dan kelaparan.

Dia bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan sama ada pernah dikurung sebelum ini.

Katanya, mereka tidak pernah dilawat oleh saudara-mara sejak dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Zulkifli berkata, lelaki tersebut mendakwa kedua-dua anaknya terlalu nakal dan bertindak merantai dan membiarkan mereka kelaparan sebagai hukuman.

Dia turut memberitahu polis bahawa telah berpisah dengan isterinya sejak sebulan lepas.

Polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah kedai di Taman Melewar sebaik saja dua beradik itu diselamatkan pada pukul 8.40 malam.

Lelaki itu turut direman selama empat hari.

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dirantai sebelum bapa mereka keluar bekerja pada pukul 3 petang," katanya.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia terdengar tangisan dua beradik tersebut ketika berada di bengkel keretanya yang bersebelahan dengan rumah kedai di Jalan Raja Uda.

"Saya terdengar tangisan kanak-kanak pada pukul 2 petang Rabu. Saya tidak mengendahkannya kerana merasakan mereka bergaduh.

"Saya terkejut apabila melihat anggota Rela di rumah tersebut pada pukul 8.45 malam. Saya hanya menyedari kanak-kanak itu dirantai apabila gambar ditunjukkan kepada saya," katanya.

Saksi tersebut berkata, dia sering terdengar tangisan dua beradik itu sejak bengkel keretanya beroperasi sejak sebulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh memberitahu, kanak-kanak itu akan ditempatkan di pusat jagaan JKM mengikut Seksyen 15 Akta Perlindungan Kanak-Kanak.MSTAR