Koleksi Sensasi

Inilah Rahsia Kejayaan Pengarah Tersohor Dunia


Pengarah filem terkenal, Steven Spielberg menghidap 'penyakit' membuat filem ketika berusia 12 tahun dan separuh abad kemudian, dia akan menjadi tidak tenteram jika tiada kisah menarik untuk dijadikan filem.

Spielberg mendedahkan masalahnya itu kepada peminatnya yang berada di dalam sebuah bilik di sebuah pusat filem.

Para peminatnya berdiri dan bertepuk tangan apabila pengarah tersohor Hollywood berkenaan muncul di pentas bagi menghadiri majlis tayangan filem terbaharunya, War Horse.

"Saya seorang pencerita," kata pengarah filem berusia 65 tahun itu.

"Sejak sekian lama, filem adalah segalanya dalam hidup saya dan tanpa kisah untuk disampaikan, saya akan menjadi gila.

"Tanyalah isteri dan anak-anak saya bagaimana situasi di rumah bersama saya tanpa sebarang filem untuk saya arahkan dalam masa terdekat. Saya merupakan seorang individu yang teruk untuk tinggal bersama," tambahnya.

"Saya murung, saya mundar-mandir di dalam rumah tanpa arah tujuan, saya menjadi sedih!" ujar Spielberg lagi.

"Apabila situasi seperti ini berlaku, keluarga saya akan segera menelefon studio perfileman saya dan berkata, adakah terdapat dalam fail, filem yang boleh diarahkan olehnya, tolonglah kami!"

Spielberg berkata: "Saya mula membikin filem semasa kanak-kanak kerana saya yang tidak memikirkan perkara lain yang lebih menyeronokkan untuk dilakukan.

"Apabila saya berusia 13 tahun, tidak ada apa yang menarik perhatian saya selain daripada mengambil kamera filem dan memberitahu kisah selama tiga dan empat minit."

Menurutnya, pada hari ini dia memperoleh tenaga dan terujaan yang sama semasa menghasilkan sebuah filem.

"Saya mengingati perasaan yang sama pada umur 12 dan 13 tahun, perasaan yang sama yang saya masih ada semasa saya menjangkau 65 tahun," katanya.

Diperkenalkan kepada para peminat filem menerusi filem aksi cemas, Duel pada 1971, Spielberg menceburi filem aliran utama empat tahun kemudian menerusi Jaws.

Sejak itu, Spielberg telah mengarahkan lebih 30 buah filem selain sejumlah produksi untuk televisyen seperti siri penyiasatan Columbo dan siri popular tahun 2001, Band of Brothers.

War Horse menceritakan kisah Joey, seekor kuda yang dibesarkan di pedalaman England yang terpaksa berpisah dengan tuannya, Albert selepas dihantar ke medan perang di Perancis semasa Perang Dunia Pertama.

Hampir dianggap ketinggalan zaman, War Horse menggarapkan kembara binatang kesayangan manusia dalam senario perang dahsyat digabungkan bersama permainan emosi yang melayakkan ia memperoleh pencalonan anugerah Golden Globe bagi kategori filem dramatik terbaik walaupun ramai pengkritik mempunyai pendapat berbeza tentang filem tersebut.

"Saya menangis apabila saya menonton filem ini," kata Spielberg tentang hasil kerja terbaharunya.

"Ia penceritaan yang terang dan jelas. Saya sukakan kisah yang tidak dibayangi simbolik atau metafora," tambahnya.

Apabila diminta oleh hos majlis berkenaan untuk memberikan nasihat kepada generasi baharu pembuat filem, Spielberg memberitahu, pengambilan pelakon merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan sesebuah filem.

"Perkara terbaik untuk filem anda adalah memilih pelakon yang tepat. Jika anda gagal berbuat demikian anda perlu bekerja keras 10 kali ganda kemudian.

"Apabila anda telah memilih barisan pelakon, dengar apa yang mereka ingin perkatakan, biar mereka melakukan kerja mereka. Kenapa anda memilih barisan pelakon berbakat jika anda tidak mengendahkan mereka? Anda perlu lebih banyak mendengar daripada bercakap." katanya lagi.

Menurut Spielberg, nasihat terbaik pernah diterimanya sebagai penerbit filem muda adalah daripada pengarah filem Perancis, Francois Truffaut yang dikenalinya dalam tahun 1970-an.

"Dia datang ke Mobile di negeri Alabama selepas menamatkan penggambaran filem Small Change dan berkata (kepada saya): Anda perlu bekerja bersama kanak-kanak," ujar Spielberg.

"Anda akan menjadi relevan dalam filem-filem anda," kata Spielberg apabila diminta mendedahkan rahsia kejayaannya.

"Inilah diri saya yang sebenar. Saya masih kanak-kanak itu (dirinya sendiri) dan tidak pernah berubah," jelas Spielberg. - AFP