Koleksi Sensasi

Lady Gaga Didakwa Mandi Darah


LONDON: Penyanyi yang sering muncul dengan kostum pelik, Lady Gaga juga dianggap mempunyai tabiat pelik, terbaru membiarkan cecair merah umpama darah dalam tab mandi.

Perkara itu menjadi perbualan hangat pekerja hotel mewah di sini, Intercontinental, mengenai cecair merah di suite penginapannya.

Seorang pekerja yang mengemas bilik penyanyi itu mendakwa ‘Lady Gaga mandi darah sebagai sebahagian upacara ilmu hitam.’

Katanya kepada laman web Truthquake: “Lady Gaga meninggalkan banyak darah dalam suite itu ketika menginap di sini. Kejadian itu turut dilaporkan kepada petugas lain dan mereka diminta melupakannya.”

Seorang lagi pekerja berkata: “Semua pekerja hotel yakin dia memang mandi menggunakan cecair itu atau mungkin juga menggunakannya sebagai satu unsur kostum peliknya di pentas.”

Seorang wartawan, bagaimanapun, berpendapat cecair itu mungkin satu elemen yang digunakan Lady Gaga di atas pentas dan dia terlupa membuangnya.

Penyanyi itu memang terkenal dengan penampilan tersendiri ketika membuat persembahan.

Contohnya, tahun lalu, dia memakai pakaian yang diperbuat daripada daging ketika mengambil bahagian dalam Anugerah Video Muzik MTV 2010. – Agensi