Koleksi Sensasi

Peniaga Wanita Samseng Di Melaka


BANDARAYA MELAKA - Seorang wanita berusia 50 tahun mencatat sejarah sebagai penjaja yang pertama di kawasan berkenaan diberi surat amaran oleh Jawatankuasa Jonker Walk hanya kerana bersikap kurang ajar terhadap pe­ngunjung.
Bukan itu sahaja, wanita terbabit turut didakwa mencabar sekumpulan pengunjung untuk bergaduh, semata-mata kerana mereka dikatakan menghalang keretanya di kawasan tumpuan itu.

Timbalan Pengerusi Ja­watankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo berkata, satu surat amaran rasmi telah dikeluarkan kepada wanita berkenaan kelmarin, selepas dia didakwa bersikap kurang mesra pengunjung, malam minggu lalu.

Menurutnya, dalam insiden berkenaan, wanita terbabit turun dari keretanya sambil memarahi dan memaki hamun sekumpulan pengunjung kerana dikatakan menghalang laluan keretanya.

“Berikutan aduan daripada pengunjung terbabit, satu siasatan telah dijalankan dan kami dapati, ini bukan kali pertama dia bertindak sedemikian.

“Sebelum ini, dia juga turut bersikap sebegitu dengan peniaga dan penjaja lain di kawasan berkenaan,” katanya, semalam.

Malah Tian Loo berkata, dua bulan lalu, ada penjaja yang mengadu mengenai sikap wanita terbabit dan satu amaran lisan telah dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Boon Leong.

“Bagaimanapun, sikapnya masih tidak berubah,” katanya.

Tian Loo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Belia dan Sukan negeri berkata, sepanjang 12 tahun Jawatankuasa Jonker Walk ditubuhkan dengan lebih 400 peniaga dan penjaja di kawasan berkenaan, ia kali pertama surat amaran dikeluarkan.

“Kita memandang serius kejadian ini kerana sikap tidak mesra pengunjung sebegini, jika tidak diperbetulkan boleh menjejaskan imej Melaka, khususnya Jonker Walk, yang sememangnya terkenal sebagai tempat tumpuan pelancong,” katanya.