Koleksi Sensasi

Mitos Keselamatan Israel


PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.

SETIAP kali rundingan damai antara Palestin dan Israel terbantut, hanya satu faktor menjadi pemangkin yang membolehkan proses itu terhenti. Masyarakat antarabangsa diberi gambaran bahawa jika wujud sebuah negara Palestin yang merdeka, keselamatan Israel sudah pasti akan terancam.

Tel Aviv telah berjaya mewarnai kepercayaan bahawa Israel yang di kelilingi oleh 21 negara Arab akan menjadi lebih terancam dengan kewujudan negara Palestin. Apatah lagi ketika ini Israel yang hanya mempunyai 5.5 juta penduduk Yahudi sedang di kelilingi oleh 300 juta rakyat Arab yang pada asasnya adalah seteru kaum Yahudi.

Jikalau hendak dibandingkan dengan keluasan Israel dengan 21 negara Arab lain, negara Yahudi tersebut hanya merangkumi 0.1 peratus daripada kawasan daratan keseluruhan dunia Arab. Statistik yang begitu menggerunkan dan berjaya memberi gambaran bahawa keselamatan Israel sentiasa berada di hujung tanduk. Tidak menghairankan bagaimana keadaan geografi sesebuah rantau boleh dijadikan modal isu keselamatan kerana strategi tersebut sudah acap kali digunakan. Singapura umpamanya menggunakan faktor di kelilingi oleh negara Nusantara Melayu untuk mengesahkan kepada rakyat mereka mengapa mereka perlu berbelanja besar dalam sektor pertahanan.

Malah tidak keterlaluan jika diandaikan mengapa sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat (AS) menyokong dasar membantu Tel Aviv secara berlebihan adalah kerana bimbang dengan persepsi keselamatan Israel akan tergugat jika bantuan ketenteraan dan ekonomi tidak disalurkan.

Isu keselamatan Israel dianggap perkara yang tidak boleh disentuh atau diperlekehkan sehingga ia dianggap dimiliki sepenuhnya oleh negara Yahudi itu. Begitu hebatnya kepercayaan tersebut sehinggakan pemilihan calon presiden AS amat bergantung kepada sekuat mana simpati calon terhadap isu keselamatan Israel.

Malah Presiden AS yang dianggap sebagai pemimpin paling berpengaruh di dunia juga tidak berani menongkah arus isu keselamatan Israel. Presiden Barack Obama pada Mei 2011 menyarankan supaya negara Palestin diwujudkan berasaskan sempadan sebelum Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan Israel menceroboh dan seterusnya menjajah Tebing Barat, Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur dan Golan Heights.

Saranan Obama bukan satu perkara baru kerana ia menjadi dasar luar pentadbiran White House buat sekian lama bermula daripada bekas Presiden Bill Clinton. Niat Obama menyuarakan apa yang tersurat hanya untuk mengerakkan semula rundingan damai yang lama terhenti.

Saranan Obama mendapat kritikan pedas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana Tel Aviv menegaskan wujudnya Palestin berasaskan sempadan sebelum perang 1967 akan memudaratkan keselamatan Israel. Lebih ironis lagi, Netanyahu menyatakan pendirian itu di hadapan perwakilan Kongres AS dan amat mengaibkan Presiden AS apabila sebahagian besar perwakilan menyokong Netanyahu. Obama akhirnya terpaksa akur isu keselamatan Israel tidak boleh dipertaruhkan dalam apa jua keadaan.

Begitu hebatnya mitos keselamatan Israel sehinggakan ia dianggap sebagai isu yang langsung tidak boleh disentuh untuk apa tujuan sekali pun. Isu keselamatan adalah menjadi pemangkin utama mengapa Israel enggan memulangkan Tebing Barat, Genting Gaza, Golan Heights dan Baitulmaqdis Timur selepas perang 1967 walaupun penjajahan tersebut tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa.

Tetapi apabila Genting Gaza dipulangkan kepada Palestin pada 2005, keselamatan Israel tidak pernah tergugat walaupun terdapat pelancaran roket secara rambang dari Gaza. Jika hendak dikaitkan isu keselamatan dengan jumlah kematian penduduk Gaza dan Israel maka keselamatan wilayah Palestin itu adalah lebih genting kedudukannya.

Serangan tentera Yahudi dalam Operasi Cast lead terhadap penduduk Gaza pada 27 Disember 2008 dan berlarutan selama tiga minggu telah mengorbankan lebih daripada 1,300 rakyat Palestin berbanding dengan hanya 10 tentera Israel yang terbunuh.

Agak begitu aneh apabila pada awal penubuhan Israel di antara 1950-1966 di mana faktor keselamatan sepatutnya menjadi isu utama, perbelanjaan pertahanan Israel adalah antara yang terendah di dunia. Mungkin juga pada era tersebut kesemua Perdana Menteri Israel tidak mempunyai latar belakang tentera. Tetapi dari 1966 hingga sekarang hampir 40 peratus menteri Kabinet Israel terdiri daripada golongan tentera dan begitu juga dengan jawatan perdana menteri besar kemungkinan disandang oleh mereka yang mempunyai pengalaman tentera. Sebab itu mungkin juga isu keselamatan gemar diperbesarkan dan tidak menghairankan perbelanjaan pertahanan Israel per kapita adalah yang tertinggi di dunia.

Masyarakat antarabangsa perlu berhati-hati dan tidak termakan propaganda Israel yang menggunakan isu keselamatan sebagai dalil utama merencatkan rundingan damai. Isu sempadan 1967 ditolak kerana bimbangkan keselamatan Israel. Begitu juga Baitulmaqdis Timur tidak boleh dijadikan ibu kota Palestin kerana kononnya akan memudaratkan keselamatan Israel.

Begitu juga dengan pihak yang menyokong pembentukan negara Palestin yang merdeka tidak boleh terpedaya dengan dakyah kewujudannya akan memudaratkan Israel. Rakyat Malaysia mesti 100 peratus yakin bahawa kewujudan negara Palestin dan Israel yang mempunyai sempadan bersama yang agak unik tidak akan memudaratkan rantau tersebut.

Isu keselamatan Israel hanyalah mitos kerana kepimpinan tertinggi negara Yahudi itu berpuas hati dengan keadaan status-quo pada ketika ini yang menyaksikan Israel mempunyai kawalan hampir 100 peratus keadaan geopolitik rantau Arab.