Koleksi Sensasi

Presiden PAS Akan Turun Demo BERSIH


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turun bersama dalam perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

"Parti juga telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli untuk turun beramai-ramai ke himpunan tersebut," kata setiausaha akhbarnya Nasaie Ismail.

Selain Hadi, pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka mengumumkan kehadirannya ke perhimpunan "duduk bantah" itu dalam masa terdekat.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasaie berkata, PAS juga mendesak anggota polis bertindak rasional dengan mengawal dengan baik perhimpunan tersebut.

"Mereka perlu ambil pengajaran (daripada perhimpunan) BERSIH 2.0 yang diprovokasi berlebihan sehingga mendatangkan suasana kecoh yang bukan timbul daripada peserta," katanya.

Ini kerana, kata Nasaie, perjuangan membersihkan pilihan raya melibatkan kepentingan semua pihak, termasuk juga pasukan polis.

Dakwanya, banyak juga anggota keselamatan yang menjadi mangsa seperti tidak dinaikkan pangkat akibat amalam kronisme dan dianiaya akibat tidak melaksanakan agenda politik kerajaan.

"Ini semua disebabkan pemimpin yang buruk tingkah lakunya memerintah negara dan menang pilihan raya dengan jalan yang salah," kata Nasaie lagi. malaysiakini