Koleksi Sensasi

Rafizi Dipanggil Bank Negara - Kes NFCorp


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menerima notis agar hadir untuk memberi keterangan di Bank Negara di bawah Seksyen 87(1)(a) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 berhubung isu National Feedlot Corporation (NFCorp), yang muncul kontroversi akhir tahun lalu dengan siri pendedahan transaksi kewangannya.


"Saya telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan pada hari ini jam 2.30 petang di Bank Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, "sementara saya menghormati tanggungjawab Bank Negara dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, saya juga khuatir jika tekanan yang berterusan yang cuba dikenakan terhadap saya dan (seorang pegawai bank) Johari Mohamad bertujuan untuk menutup skandal NFC."

Katanya, beliau juga hairan kenapa Bank Negara tidak pula menyiasat hatta mengambil tindakan terhadap Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Salleh Ismail dan keluarga beliau yang secara terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat-syarikat milik keluarga beliau di Singapura dan Kazakhstan.

"Perkara ini diakui oleh mereka dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram," katanya lagi.

Kata Rafizi, tindakan memanggil beliau  untuk soal siasat memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti SPRM dan Bank Negara tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa untuk mendedahkan penyelewengan dan rasuah yang berleluasa di Malaysia.

"Kenyataan kepimpinan SPRM kebelakangan ini contohnya, secara jelas memusuhi rakyat kebiasaan yang mengambil tindakan berani mendedahkan perlakuan rasuah.

"Fenomena ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat Malaysia dan menghalang mereka dari tampil membuat pendedahan," kata beliau lagi.

Rafizi juga berkata, beliau mahukan satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri untuk menafikan bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah.

"Apatah lagi apabila SPRM sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan ke atas seorang pun yang menganggotai jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak RM250 juta kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, sedangkan jelas NFC yang dikuasai keluarga beliau langsung tidak ada pengalaman untuk mengendalikan projek tersebut," katanya.SH