Koleksi Sensasi

Bunuh Diri Selepas Tembak 9 Orang


SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) – Seorang lelaki bersenjata membunuh lima orang dalam satu insiden tembakan di bandar raya ini.

Lelaki berkenaan menembak mati empat orang di sebuah kafe, sementara seorang lagi mangsa dalam satu kejadian rampasan kereta. Dia kemudian menembak dirinya sendiri selepas dikepung oleh pasukan polis.

Seorang jurucakap hospital, Susan Gregg berkata, suspek meninggal dunia di Pusat Perubatan Harborview.

Polis yang melancarkan operasi memburu suspek di sekitar kafe berkenaan, dekat Universiti Washington, bergegas ke lokasi kejadian selepas mereka dikejutkan dengan satu lagi kejadian tembakan.

Polis berkata, seorang lelaki membunuh seorang wanita yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan merampas kereta mangsa.

Menurut polis, mereka percaya lelaki yang sama bertanggungjawab melakukan kedua-dua serangan kejam itu.

“Ketika itu, kami yakin akan dapat menangkap suspek,” kata Timbalan Ketua Polis Seattle, Nick Metz.

Menurutnya, suspek memandu SUV berkenaan ke bahagian barat Seattle, sebelum meninggalkan kenderaan tersebut.

Selepas polis menemui kenderaan curi itu, mereka mengadakan operasi besar-besaran untuk memburu suspek di sekitar lokasi berkenaan.

Suspek yang ditemui tidak lama kemudian bertindak mengacukan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan pada kepalanya.

Akhbar Seattle Times melaporkan bahawa suspek ialah penduduk tempatan yang dikenali sebagai Ian Lee Stawicki, 40, berdasarkan sumber pihak berkuasa.

Seorang lelaki, Andrew Stawicki, 29, memberitahu akhbar tempatan, Times bahawa penyerang tersebut ialah abangnya, Ian yang mengalami sakit mental.

“Saya tidak terkejut dengan kejadian ini. Kami sekeluarga sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. Perkara tidak baik akan berlaku apabila diri anda penuh dengan kemarahan,” kata Andrew.

– Agensi