Koleksi Sensasi

Anak Saudara Dakwa Israel Racun Arafat


RAMALLAH - Israel meracun bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dengan bahan radioaktif polonium, kata anak saudaranya, Nasser al-Qidwa semalam.
"Kami menuduh Israel membunuh Arafat dengan meracunnya dengan bahan pembawa maut," katanya kepada agensi berita AFP.
Beliau merujuk bahan pembawa maut itu sebagai polonium. Bahan itu ditemui pada pakaian yang dipakai Arafat semasa beliau sakit. "Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan itu sepatutnya dihukum," katanya.
Beliau merupakan Presiden Yayasan Yaser Arafat.
Dakwaan Arafat diracun muncul pada minggu lalu selepas stesen penyiaran Al-Jazeera melaporkan pakar-pakar menyatakan terdapat kadar kandungan polonium yang tinggi pada barang peribadi milik pemimpin terkenal Palestin itu.
Bahan itu pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko yang mati pada tahun 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun tersebut.
Namun, jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan Nasser. Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004. - AFP