Koleksi Sensasi

Kontrak Duta Tudung Abby Ditamatkan


Pelakon dan penyanyi terkenal, Abby Abadi menulis dalam laman sosial Twitter yang kontraknya sebagai duta kepada sebuah syarikat tudung, baru sahaja ditamatkan kerana penglibatannya dalam PAS.

"4 Julai 2012 - Kontrak saya sebagai duta kepada tudung mereka terbatal secara rasminya. 

"Saya terima dengan hati terbuka & saya minta maaf kerana terlibat Pakatan Rakyat," tulisnya di laman Twitter pagi tadi.

Sementara itu syarikat tudung berkenaan, AlHumaira Contemporary (AHC), dalam maklum balas segera dalam facebooknya berkata, kontrak itu ditamat kerana "tidak mencapai matlamat yang diharapkan".

Tanpa menyebut nama Abby, syarikat itu menegaskan bahawa pihaknya sebenarnya berhak mengikut undang-undang untuk menamatkan kontrak pada bila-bila masa yang dianggap sesuai mengikut situasi.

"Itu ialah hak kami dan kami berharap semua pihak boleh respect (hormat) keputusan ini," kata syarikat itu pada laman Facebooknya, merujuk kepada "seorang artis yang baru beberapa bulan bertudung yang juga merupakan bekas duta AHC".

Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal itu yang kini aktif berceramah - ketika ditemui Malaysiakini Jumaat lalu - menyifatkan penyertaannya ke dalam parti itu merupakan sebahagian daripada langkahnya mendekati agama.

Menurut Abby, ia bukanlah satu penghijrahan politik seperti yang dianggap ramai pihak.

"Saya tak pernah terfikir nak guna istilah penghijrahan itu sebab saya terlibat secara tak sengaja," katanya sewaktu ditemui di Shah Alam.

Menurut Abby, perubahan dirinya yang kini bertudung dan mula mendekati agama dilakukan sebelum beliau mula mendekati PAS lagi.

"Hidayah atau penghijrahan ini kita dah dapat semua sebelum masuk PAS," kata Abby.

Abby yang dahulu merupakan sebahagian daripada kumpulan Elite dan popular dengan siri drama Gerak Khas menjadi ahli PAS seumur hidup pada 19 Julai lalu.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, beliau mula mendekati PAS selepas dijemput parti itu untuk berceramah tentang perubahan dirinya daripada seorang yang tidak bertudung kepada seorang yang bertudung.

"Saya pada mulanya dijemput untuk berkongsi tentang saya punya hijrah itu," kata Abby.

Beliau kemudiannya membuat keputusan menyertai PAS kerana tertarik dengan perjuangannya yang berteraskan agama Islam.

"Kita nampak PAS itu perjuangan dia memang perjuangkan agama. Saya sertailah sebab saya nampak benda itu memang baik untuk agama," kata Abby ringkas.malaysiakini