Koleksi Sensasi

Tak Serik Datang Malaysia


Personaliti televisyen Singapura, Rita Zahara Mohd. Nazeer mengakui dia dan keluarganya masih trauma selepas disamun dua lelaki ketika berhenti di Jalan Susur 5, Larkin di sini pada 1 Julai lalu.
"Apa yang boleh dikatakan, sekarang ini keluarga saya masih trauma namun saya tidak serik (ke Malaysia) kerana kejadian sebegini boleh berlaku di mana-mana sahaja," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Rita Zahara, 37, bagaimanapun lega selepas tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu ditangkap di Felda Ulu Tebrau di sini pada Rabu lalu bersama dua pucuk pistol serta selaras senapang patah.
Mengimbas semula kejadian, Rita memberitahu, dia memberhentikan kereta Nissan Sunny yang dipandu untuk membeli buah-buahan di kawasan itu sementara dua anak, kakak dan pembantu rumah menunggunya di dalam kenderaan yang enjinnya masih hidup pada pukul 12.40 pagi.
Dua lelaki kemudian melarikan kereta itu dan membebaskan empat mangsa di dalamnya dalam keadaan selamat di Kampung Nora, Ulu Tiram dua jam kemudian kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.