Koleksi Sensasi

Misteri Tempat Persembunyian Bashar


ALEPPO - Presiden Syria, Bashar Al-Assad memberitahu tenteranya semalam bahawa perang menentang pemberontak akan menentukan nasib Syria.

Namun, mesejnya tidak memberikan petunjuk berhubung di mana lokasi beliau, dua minggu selepas satu serangan bom mengenai beberapa orang pentingnya termasuk Menteri Pertahanan, Daoud Rajha.

Bashar tidak pernah berucap di khalayak ramai sejak tragedi pengeboman di Damysik pada 18 Julai lalu yang meragut nyawa empat pegawai kanan keselamatannya walaupun beliau dilihat muncul di kaca televisyen.

Ucapan terbaharu Bashar itu disiarkan di sebuah majalah tentera sempena sambutan hari pasukan keselamatan Syria.

Namun, waktu dan lokasi ucapan tersebut dibuat masih tidak diketahui sekali gus menunjukkan kebimbangan berhubung keselamatan Bashar.

"Nasib rakyat kita dan negara kita, masa kini dan pada masa hadapan bergantung kepada pertempuran ini," kata Bashar yang merujuk kepada pertempuran sengit yang sedang berlaku di bandar terbesar di negara itu di sini.

Sementera itu, pejuang-pejuang pemberontak menawan tiga buah balai polis ketika mereka menentang pihak tentera untuk menguasai sebuah daerah strategik.

Beberapa letupan kedengaran semalam dengan sejumlah helikopter berlegar di udara ketika tentera pemerintah cuba mengusir pemberontak dari bandar ini yang merupakan antara pusat pemerintahan Bashar.

Sementara itu, para pemberontak kini berusaha untuk merampas cawangan perisikan Syria di bandar Aleppo.

Usaha itu dilakukan selepas tiga balai polis ditawan tentera pemberontak di sini.

Pertempuran antara tentera pemberontak dengan tentera Bashar telah meragut lebih 19,000 orang.

Kebangkitan rakyat itu berlaku sejak Mac tahun lalu.

Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan ekoran kegagalan melancarkan pembaharuan dalam pentadbiran selepas kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.

Pertempuran itu turut melibatkan Tentera Pembebasan Syria yang dianggotai penduduk tempatan.

- Agensi