Koleksi Sensasi

Bayi 17 Hari Mati Tersedak Susu


GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki yang baru 17 hari dilahirkan maut selepas tersedak susu yang dipercayai diberi ibunya sendiri di kediaman mereka di Desa Indah Relau, Sungai Nibong.

Bayi berkenaan, Ng Kian Weng disahkan mati di rumah itu selepas anak bongsu daripada dua beradik tersebut dikatakan tidak lagi bergerak dengan mukanya pucat selepas diberi minum susu pada pukul 6 pagi.

Ibu bapa mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian bergegas mengejarkan bayi mereka ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Namun mangsa disahkan telah mati sebelum dibawa ke situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mayat bayi lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar forensik, Dr. Ariza Kamaruddin mendapati, punca kematiannya adalah disebabkan tersedak susu di saluran pernafasan.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ahli keluarga bayi itu bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kematian Kian Weng yang dilahirkan pada 20 Ogos lalu.