Koleksi Sensasi

Berlipat Dalam Longkang

KUALA LUMPUR: “Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat hanya kaki terjulur keluar dari permukaan lubang manakala tubuhnya terlipat membongkok,” kata Pegawai Bomba, Narmizi Hamzah, dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang yang mengetuai usaha menyelamatkan lelaki yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Melayu Kepong.

Menurut Narmizi, ketika diperiksa lelaki terbabit berusia 40-an tidak bergerak, malah tidak menyahut panggilannya dan disyaki pengsan selepas terperosok ke dalam longkang sedalam satu meter pada jam 9.25 malam.

“Saya tidak tahu berapa lama mangsa dalam longkang berkenaan yang terletak berhampiran rumah penduduk.

“Mujur longkang itu tidak ditenggelami air walaupun hujan lebat ketika kejadian,” katanya yang ke tempat kejadian bersama satu jentera dan enam anggota selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Narmizi berkata, mangsa dipercayai terbabit kemalangan selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat jalan licin sebelum terjatuh ke dalam longkang itu.

“Berdasarkan laporan pemilik kediaman berkenaan, dia baru pulang ke rumah apabila ternampak motosikal tanpa penunggang rebah di tepi jalan berhampiran pintu pagar.

“Pemilik berkenaan yang curiga dengan keadaan itu memeriksa kawasan depan rumahnya dan menemui penunggang motosikal itu di dalam longkang,” katanya.

Katanya, kemalangan itu tidak disedari sesiapa berikutan hujan lebat selain persekitaran gelap manakala longkang itu pula dilindungi pokok hiasan merimbun.

“Saya bersama anggota lain mengeluarkan mangsa dan kerja menyelamat perlu berhati-hati kerana bimbang mencederakan mangsa.

“Ini kerana, longkang itu sempit dan berdinding konkrit. Mangsa diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Selayang,” katanya.