Koleksi Sensasi

Lelaki Jumpa Muammar Gaddafi Dalam Lubang Akhirnya Dibunuh


TRIPOLI – Seorang ahli kumpulan pemberontak Libya yang diiktiraf sebagai salah seorang yang menjumpai Muammar Gaddafi dalam lubang besar tahun lalu, disahkan meninggal dunia selepas diculik, dipukul dan ditetak oleh kumpulan penyokong pemimpin itu.

Omran Shaaban, 22, akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital Perancis.

Ekoran dari kematian Shaaban, Kongres Kebangsaan meningkatkan lagi usaha mengekang pengganas selain memberi kuasa kepada polis dan tentera menggunakan kekerasan kepada mana-mana pihak yang menculik Shaaban serta tiga rakannya dekat bandar Bani Walid, Julai lalu.

Kongres Kebangsaan menggelar kematian Shaaban sebagai ‘syahid’ walaupun keluarganya mendakwa pemuda itu belum menerima ganjaran bernilai 1 juta dinnar Libya (RM2.5 juta) yang dijanjikan kerana berjaya menangkap Gaddafi di Sirte pada pertengahan Oktober 2011 lalu.

Akibat daripada penemuan Shaaban, pemimpin yang dikecam pemberontak Libya itu dibunuh oleh kumpulan pejuang revolusi.

Menurut sumber, kerajaan Libya akan mengadakan pengebumian secara hormat kepada Shaaban yang dianggap sebagai wira negara.

Jenazahnya yang tiba di lapangan terbang dalam Misrata, diarak lebih 10,000 orang menuju ke stadium bola sepak untuk disembahyangkan.