Koleksi Sensasi

Kokain RM368.5 Juta Ditemui Dalam Kapal Terdampar


SYDNEY - Sebuah kapal layar yang terdampar di pulau terpencil di Lautan Pasifik Selatan bersama mayat reput seorang lelaki di dalamnya didapati membawa lebih 200 kilogram (kg) dadah jenis kokain bernilai AS$120 juta (RM368.5 juta), kata polis.

Polis Persekutuan Australia menyatakan, kapal layar JeReVe yang sepanjang 13 meter itu diawasi beberapa agensi penguatkuasaan antarabangsa selepas kapal berkenaan meninggalkan Amerika Selatan tetapi mereka gagal mengesannya.

Dua penyelam menemui kapal tersebut awal bulan ini di sebuah pulau kecil dalam gugusan pulau Vava di Kepulauan Tonga.

Mereka membuat laporan polis selepas menemui mayat lelaki kulit putih tersebut.

"Turut ditemui di dalam kapal itu sejumlah 204 ketulan kokain mampat dengan setiap satu seberat satu kilogram dipercayai untuk dijual di pasaran Australia," kata pemangku pengurus unit jenayah berat dan terancang, David Sharp pada satu sidang akhbar.

Rampasan besar-besaran itu kini disiasat oleh polis Tonga, Kepulauan Cooks, Australia dan Pentadbiran Penguat Kuasa Dadah Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Tonga tidak menolak kematian tersebut mencurigakan tetapi setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kematian misteri.

Pada akhir 2010, Polis Persekutuan Australia memberitahu, mereka telah menangkap empat lelaki di bandar raya ini berhubung komplot untuk menyeludup hampir 700 kg kokain ke negara itu melalui Tonga. - AFP