Koleksi Sensasi

Mayat Jururawat Ditipu Tiba di India


MANGALORE, India - Mayat jururawat Hospital King Edward VII, London, Jacintha Saldanha, 46, yang ditemui mati selepas menggantung diri di kediamannya kerana ditipu dua penyampai radio dari sebuah stesen radio Australia yang menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles tiba di sebuah lapangan terbang di sini semalam untuk dikebumikan.

Majlis pengebumian Saldanha dijangka berlangsung pada hari ini di kampung halaman suaminya, Benedict Barboza di Shirva kira-kira 50 kilometer dari Mangalore.

Barboza bersama-sama kedua-dua anaknya Lisha, 14, dan Junal, 16, mengiringi jenazah Saldanha sepanjang penerbangan ke sini.

Paderi Gereja Our Lady of Health, Stany Tauro berkata, mayat Saldanha akan dikebumikan pada pukul 4 petang waktu tempatan.

Seramai 5,000 orang dijangka hadir pada majlis tersebut.

Saldanha ditemui mati pada 7 Disember lalu di kediaman untuk kakitangan hospital tersebut, tiga hari selepas menyambung panggilan kepada rakan setugasnya yang mendedahkan berita mengenai tahap kesihatan isteri Putera William, Kate Middleton.

Kate sebelum ini dilaporkan loya ekoran kehamilannya dan di dirawat di hospital tersebut selama empat hari.

William ialah cucunda ratu tersebut.

Saldanha yang berketurunan India turut mempunyai kecederaan di pergelangan tangan dan meninggalkan tiga keping nota.

Kedua-dua penyampai stesen radio 2Day FM, Michael Christian dan Mel Greig bertindak memohon maaf dalam satu wawancara di televisyen pada minggu lepas.

Ekoran penyamaran itu, kedua-dua penyampai radio tersebut menerima kritikan pelbagai pihak kerana menyebabkan kematian yang tragis itu.

Laporan di akhbar Sunday Times semalam menyatakan Saldanha terlibat dengan perbalahan bersama seorang rakan setugasnya sebelum kematiannya.

Dia juga dilaporkan tidak gembira yang layanan yang diberikan pihak pengurusan hospital ekoran kejadian tersebut.

Kelmarin, sejumlah pelajar India berarak ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di New Delhi bagi menuntut keadilan terhadap kematiannya. - Agensi