Koleksi Sensasi

Anak Ifa Raziah Cedera Dibuli


Anak kepada penyanyi Ifa Raziah cedera di dahi selepas terlibat dalam insiden pergaduhan dengan rakan sekolahnya dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah antarabangsa di Gombak, Jumaat lalu.

Muhammad Shakir Aqili Mohd Yani, 8, dikatakan ditolak oleh seorang pelajar darjah lima akibat perasaan cemburu dengan koleksi patung gusti yang dimiliki Aqili.

"Pada tengah hari Jumaat, selepas tamat waktu sekolah, anak saya berborak dengan anak kepada pelakon Amyza Aznan yang turut belajar di sekolah yang sama. Mereka berborak mengenai patung gusti.

"Tiba-tiba datang seorang budak darjah lima menyertai perbualan itu dan anak saya terus menyambung perbualannya sambil menceritakan koleksi patung gusti yang dimilikinya.

"Kerana tidak percayakan kata-kata Muhammad Shakir Aqili, budak itu menolaknya sehingga kepala dia terkena besi menyebabkan luka pada dahi sebelah kiri," kata Ifa yang dipetik daripada mStar Online.

Tambah Ifa, akibat kejadian itu anaknya terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan menerima enam jahitan.

Selain itu, Aqili juga terpaksa di hantar ke Hospital Pakar KPJ Tawakkal untuk menjalani imbasan kerana dikhuatiri terdapat gegaran otak.