Koleksi Sensasi

Nenek Seludup Kokain Dihukum Mati


DENPASAR - Sebuah mahkamah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang nenek dari Britain kerana menyeludup kokain ke pulau peranginan Bali.

"Kami mendapati Lindsay Sandiford bersalah membawa masuk narkotik (dadah) dan menjatuhkan hukuman mati terhadap defendan," kata Hakim Amser Simanjuntak di Mahkamah Daerah Denpasar di sini.

Sandiford, 56, ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Bali bersama sejumlah 4.79 kilogram kokain bernilai AS$2.5 juta (RM7.5 juta) yang disembunyikan di dalam beg pakaiannya pada Mei lalu.

Polis berkata, dia kemudian membantu siasatan pihak berkuasa yang membawa kepada penahanan tiga rakyat Britain dan seorang warga India berhubung kes dadah.

Hukuman berat itu mengejutkan pihak pendakwa raya kerana mereka pada bulan lalu mencadangkan agar Sandiford dihukum penjara selama 15 tahun selepas dia mengakui kesalahannya dan berkelakuan sopan di mahkamah.

Namun, seorang hakim dalam panel berkenaan, Bagus Komang Wijaya Adi semalam berkata, tiada situasi yang membolehkan hukuman kes tersebut diringankan.

"Semua bukti menunjukkan defendan bersalah," katanya.

Indonesia melaksanakan hukuman berat terhadap penyeludup dadah dengan mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup.

Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak, biasanya, pada waktu malam di lokasi yang dirahsiakan. - Agensi