Koleksi Sensasi

'Selagi Cinta Berzikir' Akhiri Tribute P. Ramlee


Bagi melengkapkan tayangan 10 telefilem terbaik mengisi slot Tribute P Ramlee di TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempersembahkan 'Selagi Cinta Berzikir', yang akan ditayangkan pada 27 Januari ini, jam 9 malam.

Drama arahan Eirma Fatima menyaksikan gandingan mantap Beto Kusyairy dan Sharifah Amani menjiwai telefilem yang diinspirasikan daripada lagu popular Tan Sri P Ramlee bertajuk 'Berkorban Apa Sahaja'. Drama ini turut dibantu oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan Azizah Mahzan.

Ia mengangkat kisah sepuluh tahun lalu, demi cinta, Nazira sanggup meninggalkan kemewahan keluarga untuk hidup bersama Fazli, seniornya ketika sama-sama menuntut di universiti. Tekad Nazira untuk berkahwin dengan Fazli menyebabkan hubungan Nazira dengan ayahnya, Datuk Ramli menjadi dingin dan renggang.

Berlainan pula dengan ibu Nazira, Datin Mahani yang amat bersimpati.

Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bernikah di Thailand. Malang tidak berbau kerana ketika dalam perjalanan, kawasan mereka telah diserang oleh penjahat yang cuba untuk menakluki kawasan itu. Fazli dan Nazira cedera dan kaki Nazira terpaksa dipotong.

Namun dugaan demi dugaan yang berlaku menyebabkan Fazli bertindak menghubungi ibu Nazira supaya mengambil Nazira semula. Apakah cinta Nazira dan Fazli akan terlerai begitu sahaja? Jangan lupa mengikuti telefilem penuh tragis ini di TV1! mediahiburan