Koleksi Sensasi

Tebuan Ragut Nyawa Bayi

Kuala Kedah: “Pada pagi hari kejadian, anak saya, Nur Aimi Khairun Nisa Mohd Nakhaie, 14 bulan, merengek seolah-olah mahu mengikut saya ke tempat kerja, tetapi saya berjanji kepadanya akan balik awal selepas semua kerja selesai. 

“Itulah kali terakhir saya berbual dan menemuinya sebelum meninggal dunia akibat disengat tebuan,” kata Sarizan Murad, 38. 

 Sarizan yang juga jururawat di sebuah klinik kesihatan, di sini, tidak menyangka rengekan anaknya pada pagi Jumaat lalu, membawa petanda arwah akan meninggal dunia selepas disengat lebih 50 ekor tebuan ketika tidur dalam buaian di ruang dapur rumah neneknya di Kampung Sematang Pinang, dekat sini. 

Sebelum kejadian, Nur Aimi dikatakan tidur selepas dimandikan neneknya, Aishah Md Ali, 64, yang menjaga bayi itu sejak arwah dilahirkan, kira-kira jam 9 pagi. Menurutnya, dia sering menghantar tiga anaknya termasuk arwah yang juga anak bongsu ke rumah ibu mentua yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas dia dan suami ke tempat kerja.


hmetro