Koleksi Sensasi

Hilang Semua Gigi Akibat Kerap Minum Air Berkarbonat Coke


Baru berusia 25 tahun, namun seorang lelaki hilang semua giginya. Ia gara-gara ketagihannya kepada minuman berkarbonat.

Boleh dikatakan hampir setiap hari William Kennewell minum enam hingga lapan liter air berkarbonat terutama Coke.

Biarpun diberikan amaran oleh doktor gigi, namun pekerja hotel itu tidak mempedulikannya hinggalah giginya mulai reput satu demi satu.

Ketagihannya kepada minuman berkarbonat itu juga menyebabkan dia hampir mengalami keracunan darah akibat gigi yang reput.

“Saya adalah lelaki normal yang mempunyai gigi namun kini semuanya terpaksa dibuang dan terpaksa memakai gigi palsu.

“Saya mula ketagih kepada minuman bergula ini selepas bekerja dalam industri perhotelan. Ia memudahkan akses saya kepada Coke,” katanya.

Masalah ketagihan kepada minuman berkarbonat itu telah menyebabkan pakar kesihatan Australia melakukan kajian terhadapnya bagi memberikan kesedaran kepada golongan muda supaya mengelakkan minuman tersebut.

Menurut penyelidik kanan, Dr Jason Armfield, beliau sudah menjalankan kajian terhadap 16,800 kanak-kanak di Australia.

Tinjauan itu mendapati 56 peratus daripada mereka yang berusia lima hingga 16 tahun minum minuman manis dan berkarbonat setiap hari.