Koleksi Sensasi

Masih Aku Cinta 'Hadiah' Shila Buat Sharnaaz


SELEPAS lagu ciptaan pertamanya, Patah Seribu menjadi hit tahun lalu, penyanyi popular, Shila Amzah muncul dengan lagu terbaru berjudul Masih Aku Cinta, di sebalik isu berkaitan cintanya yang masih hangat diperkatakan.

Menerusi laman mikro Twitternya hari ini, Shila memperkenalkan lagu tersebut kepada peminatnya.

Ekoran konflik yang melanda hubungan cintanya dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad baru-baru ini, lagu tersebut dikatakan dituju buat kekasihnya itu.

"My new sounds, Masih Aku Cinta... lagu baru saya... lagu yang saya tulis untuk dia)," tulisnya pada 5.30 petang tadi.

Dalam interaksinya dengan peminat di Twitter, Shila seakan mengesahkan lagu tersebut untuk seseorang lelaki yang diduga sebagai Sharnaaz.

Shila menjawab "ya" ketika @zeehedzline menulis, "adakah untuk dia?"

Lirik lagu yang antaranya menyebut tentang cinta yang tidak kesampaian itu seolah-olah menjelaskan kisah cintanya dengan Sharnaaz yang masih tidak diketahui penghujungnya.

Antara bait lirik lagu tersebut, "biarpun kau tak lagi ada denganku, takkan ku bisa melupakan mu, cara mu, memanggil nama ku, terasa seolah kau masih ada."

Dalam berita yang dibawa Sinar Harian Online pagi tadi, Shaznaaz berkata, "saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa hubungan saya dengan Shila Amzah berakhir."

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. Media tolong jangan buat spekulasi," tegas Shaznaaz.

Sebelum ini, kemelut cinta Sharnaaz dan Shila memasuki episod baru apabila Sharnaaz dikatakan sudah berundur diri kerana hilang hormat terhadap ayah Shila, ND Lala.

Shila pula dihalang untuk ditemu bual walaupun pada mulanya bersetuju bertemu media sebaik dia selesai persembahan di Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional, baru-baru ini.

Malah, Shila turut dikawal ketat pengawal peribadi dan pasukan keselamatan yang diarahkan supaya menghalang wartawan mendekati Shila Amzah oleh bapanya, ND Lala.

Berikutan kemelut hubungan cinta dan keluarga, Shila baru-baru telah bertindak menyisihkan diri dan bersendiri tanpa pengawasan keluarga sehingga ND Lala terpaksa membuat laporan polis setelah Shila tidak pulang ke rumah.

Shila juga telah bertindak memuat naik video Ombak Rindu dendangannya pada Jumaat minggu lalu, bagi menggambarkan perasaan dan kemelut yang dihadapinya kini.