Koleksi Sensasi

Sasar Kutipan RM10 Juta


SELEPAS ditayangkan di 16 buah negara sejak tahun 2007, siri animasi televisyen popular Bola Kampung kini telah melangkah ke hadapan apabila siri animasi itu bakal berada di pawagam bermula 21 Mac ini.

Filem animasi 3D stereoscopic berbahasa Melayu pertama itu yang diberi judul Bola Kampung The Movie merupakan terbitan Animasia Studio dengan kerjasama Young Jump Studio.

Langkah demi langkah dimulakan Animasia Studio pada tahun ini setelah program animasi Ask Lara tercalon di International Emmy Kids Awards bulan lalu, sekali gus memberi suntikan semangat dan keyakinan untuk mereka terus menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Menelan kos RM6 juta, Pengarah Urusan merangkap Penerbit Eksekutif filem animasi tersebut, Edmund Chan berharap kutipan pecah panggung sehingga RM10 juta akan mampu diraih untuk tayangan dalam negara.

Selain itu, katanya, filem tersebut juga akan dipasarkan di luar Malaysia termasuk di Indonesia, Kemboja dan Rusia menjelang pertengahan tahun ini.

Menariknya, filem yang diadaptasi daripada siri televisyen itu menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan seperti Datuk Aznil Nawawi, Deanna Yusoff, Afdlin Shauki, Ezlynn dan tidak ketinggalan penyanyi popular Aizat dan Noh Hujan sebagai penyumbang suara.

Keunikan suara Ezlynn membolehkan dia menjadi penyumbang untuk karakter utama, budak lelaki bernama Iwan.

"Sebenarnya saya hanya datang untuk membuat rakaman tetapi diajak untuk membuat uji bakat. Selepas itu, saya terus dipilih kerana saya boleh bersuara seperti lelaki. Saya sentiasa berlatih dengan berimaginasi seolah-olah berjoging untuk menghasilkan suara lelaki yang penat," kata Ezlynn.

Afdlin Shauki pula berasa bertuah kerana dianggap hero oleh anak-anaknya selain isterinya yang sebelum ini pernah menyumbangkan suara untuk animasi Seefood.

Dalam pada itu, Noh dan Aizat yang baru menceburi bidang lakonan, berkata, mereka merupakan peminat anime dan peluang terlibat dengan projek Bola Kampung merupakan satu perkara yang tidak mungkin dilepaskan.

Bola Kampung berkisar tentang tiga sekawan Iwan (Ezlynn), Sabok (Afdlin Shauki) dan Zul (Harris Alif) yang gemar bermain permainan video terpaksa membantu Amanda (Marsha), seorang puteri dari dunia permainan maya Kingdom Hill melawan virus yang menyerang kota itu.

Amanda dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari perwira yang digelar Perwira Suria untuk menghentikan serangan virus tersebut. Setibanya di Kampung Gong Lechar, Amanda mengalami penyakit amnesia dan tidak mampu ingat tentang asal usulnya. Amanda kemudian berkawan rapat dengan Iwan dan rakan-rakannya.

Tanpa disedari, seorang penjahat dari Kingdom Hill juga telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari dan membunuh Puteri Amanda. Atas nama persahabatan, Iwan dan rakan-rakan bersetuju untuk membantu Amanda menyelamatkan Kingdom Hill. Di situlah pengembaraan Iwan dan rakan-rakan bermula.