Koleksi Sensasi

Tanah Runtuh Ragut 17 Nyawa di Brazil


RIO DE JANEIRO - Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam beberapa kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di sebuah kawasan pergunungan di Brazil, kata pihak berkuasa semalam.

Berpuluh-puluh penduduk lagi hilang tempat tinggal sejak Ahad lalu dalam bencana yang menimpa Petropolis dan kawasan sekitarnya.

Bekas bandar diraja itu terletak 68 kilometer ke utara Rio Janeiro.

Menurut seorang pegawai tempatan, antara yang terbunuh termasuk dua petugas keselamatan.

Gabenor Rio, Sergio Cabral meminta penduduk yang terjejas berlindung di penempatan-penempatan sementara ekoran hujan semakin lebat.

Pada masa yang sama, Datuk Bandar Petropolis, Rubens Bomtempo pula menggesa penduduk setempat agar tidak keluar rumah.

Beliau memberi amaran lebih banyak tanah runtuh diramal berlaku.

Satu kenyataan pertahanan awam menyatakan, hujan lebat turut menjejaskan beberapa bandar lain di negeri Rio termasuk Angra dos Reis, Mangaratiba, Niteroi dan Te resopolis.

Pada Januari 2011, lebih 900 orang terbunuh di negeri itu selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh. - AFP