Koleksi Sensasi

Babak 'Ranjang', Finas Mohon LPF Lebih Tegas


SEBELUM ini, aksi 'panas' pelakon cantik, Nora Danish bersama Rusdi Ramli menerusi filem Mencari Cinta, mendapat kritikan hebat di kalangan masyarakat.

Namun, belum reda kontroversi itu, peminat dikejutkan lagi dengan adegan ranjang yang dilakonkan pelakon hebat, Remy Ishak dan Diana Danielle, menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil.

Walaupun babak itu dipotong dari tayangan asal, namun tindakan syarikat produksi, Grand Brilliance Sdn Bhd, yang memuat naik video berdurasi 1:07 pada 29 Mac lalu, mendapat perhatian segelintir peminat.

Ramai mula mengkritik adegan itu, malah ada yang mendakwa adegan ini sengaja dipertontonkan untuk meraih perhatian penonton.

Menganggap ianya berpunca daripada sikap pelakon dan pihak penerbitan sendiri, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memandang serius mengenai perkara ini.

Menurut Raja Rozaime Raja Dalnish Shah, perkara sedemikian sepatutnya tidak berlaku di dalam industri seni tempatan.

"Memang saya akui, kebanyakan pelakon dan produksi semakin berani dengan menampilkan babak-babak yang tidak bersesuaian dengan budaya kita.

"Namun, Finas hanya mampu menasihati dan menegur tindakan itu kerana ia menjadi tanggungjawab Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Selain pihak produksi, pelakon juga harus bijak memilih untuk melakonkan sebarang aksi. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan sesiapa, jika artis itu sendiri sanggup melakukan aksi sedemikian," katanya yang berharap agar LPF lebih memainkan
peranan dalam memastikan babak-babak yang sepatutnya tidak terlepas daripada tapisan.