Koleksi Sensasi

Kenapa Kereta Perisai Polis Diraja Malaysia Dinamakan ‘Zabri’?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, tahukah anda mengapa Ferret Scout Car milik PDRM yang turut digunakan dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah diberi nama Zabri?

Perkataan ‘Zabri’ pada kenderaan perisai tersebut adalah sebagai memperingati jasa dan perjuangan ASP Mohd Zabri bin Abdul Hamid (gambar kecil), pakar taktikal dan antara perwira yang paling dikenang dalam sejarah 69 Komando.

Allahyarham terbunuh selepas terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis ketika menyeberangi Sungai Kenerong, Perak pada 4 September 1975.

Allahyarham yang mengalami kecederaan parah pada kaki menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan dibawa keluar dari kawasan operasi.

“Teruskan perjuanganmu, hancurkan petualang negara, buru..dan hancurkan mereka, biarpun diriku tiada lagi” adalah amanat terakhir Allahyarham yang menjadi azimat selamanya kepada rakan-rakan seperjuangan beliau.

Jasad Allahyarham ASP Mohd Zabri bin Abdul Hamid kemudiannya dibawa pulang dan disemadikan di kampung halaman beliau di Tapah, Perak.

Selain terukir pada kenderaan perisai PDRM, nama Allahyarham ASP Mohd Zabri turut diabadikan pada sebuah kem latihan PDRM di Tasik Banding, Grik, Perak yang dikenali sebagai Kem Zabri.

Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama-sama para syuhada. Al-Fatihah.nizarazu