Koleksi Sensasi

Kisah ‘Orang Tak Betul’ Mengenai Pesawat Angkasa


Siapa pernah melihat atau terserempak dengan lelaki ini? Lelaki yang sering berjubah ini dikatakan mempunyai ilmu luar biasa terutama dalam bidang matematik dan fizik. Kehadirannya di kawasan pasar-pasar mengundang persoalan, siapakah sebenarnya lelaki ini. Bagaimanakah dirinya mempunyai kelebihan yang sangat unik? Kali ini kami ingin berkongsi dengan anda tentang kehebatan lelaki ini dalam menyatakan pendapatnya tentang pesawat angkasa.
SAYA hendak sampaikan satu cerita berkenaan seorang lelaki yang dianggap ‘tak betul’ yang telah menghadiri ceramah yang saya sampaikan di USM Tronoh, 10 tahun yang lalu pada bulan Julai 1999.
Semasa seminar itu saya menyampaikan ceramah bertajuk Pelancongan Angkasa – dan percaya saya adalah orang pertama yang menyampaikan ceramah mengenai pelancongan angkasa di Malaysia.
Ceramah saya itu dihadiri oleh seorang lelaki (yang tidak diundang dalam seminar itu), yang berada di situ bersama-sama pelajar Sekolah Kejuruteraan Aeroangkasa USM dan beberapa orang pensyarah mereka serta pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 4 dan 5 di sekitar Ipoh iaitu seramai 500 orang.
Lelaki ini memang dikenali ramai oleh orang Ipoh kerana sering berada di halaman masjid pada hari Jumaat dan dia akan berceramah mengenai bidang matematik dan fizik. Dia memakai jubah dan serban dan meninggikan suara ketika berceramah serta kerap memberikan komen terhadap pembelajaran matematik dan fizik semasa.
Dia turut menyampaikan ceramahnya di pasar barang terpakai di Ipoh. Malah saya pernah terserempak dengannya di Seksyen 2 Shah Alam pada suatu hari Jumaat ketika dia sedang mencetak nota-nota ceramahnya – mungkin untuk ceramahnya di masjid di Shah Alam.
Ceramahnya kerap menyentuh mengenai space travel. Saya sendiri pernah beberapa kali mendengar ceramahnya. Tetapi, disebabkan cara penyampaian ceramahnya, dia dianggap sebagai ‘tidak betul’ oleh masyarakat.

Saya memang menyedari kehadirannya ketika saya berceramah di USM pada masa itu.

Ketika saya minum dan makan bersama beberapa orang pegawai dan pensyarah pada waktu rehat, seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan melayan sebarang pertanyaan dari ‘orang tak betul’ tu. Saya tanya, kenapa, dan dia jelaskan bahawa ‘orang tak betul’ itu mempunyai kefahaman yang berbeza dari biasa terhadap konsep space travel.
Saya bertanya, apakah konsepnya, dan dia memaklumkan bahawa, ‘orang tak betul itu’ percaya bahawa cara terbaik untuk melancarkan pesawat angkasa adalah dengan menggunakan konsep kapal terbang iaitu berlepas secara mendatar sebelum terbang menegak ke angkasa!
Tapi pada hari ini, 10 tahun selepas peristiwa itu, konsep ‘orang tak betul’ inilah menjadi perhatian pereka sistem pengangkutan angkasa canggih, kerana itulah konsep pesawat angkasa (spaceplane). Jadi saya merumuskan, ‘orang tak betul’ itu adalah antara orang Malaysia yang paling awal yang dapat memahami konsep spaceplane.
Pada hari ini, ‘orang tak betul’ itu masih lagi menyampaikan ceramahnya di pekarangan masjid pada hari Jumaat dan pasar barang terpakai pada hari Ahad di sekitar Ipoh.
STS-MC bercadang untuk memberikan beliau sedikit ‘penghargaan’ bersempena dengan Ulang Tahun Ke-10 Pelancongan Angkasa di Malaysia.
NORUL RIDZUAN

Institut Kajian Aero Angkasa (STS-MC )
amekaw