Koleksi Sensasi

Mubarak Selangor Kesal Mat Taib Sertai PAS


SHAH ALAM - Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai Pas berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, tindakan Muhammad itu tidak pernah diduga biarpun banyak dinasihatkan Mubarak dan rakan parti supaya tidak meneruskan hasratnya itu.

"Kita kesal dan syukur kami Mubarak Selangor tidak ikut jejak beliau, hanya beliau seorang tinggalkan kami.

"Sebelum ini ramai kawan beliau cuba merapatkan hubungan dengannya untuk meminta pendapat dan nasihat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Sekretariat Mubarak Selangor, Datuk Abd Samad Maharudin; Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Salomon Selamat dan Ahli Jawatankuasa Mubarak Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Muhammad, 65, yang turut dikenali dengan panggilan Mat Taib, menyerahkan sendiri borang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi tadi.

Sehubungan itu, Abu Hasan berkata, Mubarak Selangor akan mengemukakan laporan kepada Majlis Tertinggi Mubarak bagi memaklumkan perkara itu untuk diambil tindakan susulan.

Ditanya sama ada Mat Taib akan menjadi ancaman kepada BN khususnya sepanjang tempoh berkempen nanti, beliau berkata, ia tidak sedikit pun menjejaskan peluang BN untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR).

"Kami yakin Mat Taib tak ada ruang dan tempat di Selangor lagi dan usaha dia untuk menagih undi daripada rakyat negeri ini tidak mungkin berjaya," katanya.

Meskipun Muhammad jelasnya masih mempunyai pengaruh yang kuat di Selangor, namun perkara itu beliau serahkan kepada rakyat untuk menentukannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketika diminta mengulas status keahlian Muhammad dalam Umno, beliau berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh majlis tertinggi parti walaupun beliau mempunyai keahlian seumur hidup.

"Kalau ahli tidak patuh kepada garis panduan parti, individu itu boleh dipecat dan digugurkan keahliannya," katanya.

Dalam pada itu, Mubarak dan BN Selangor juga bersedia menghadapi sebarang serangan terhadap mereka dalam kempen pilihan raya PR yang mungkin akan digunakan untuk membantu jentera parti pembangkang.