Koleksi Sensasi

PM Individu Pertama Dapat Kad Kahwin Beego & Linda


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan individu pertama menerima kad undangan perkahwinan pelakon Beego yang akan berlangsung pada bulan Jun depan.

Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 33, berkata, dia telah menyerahkan kad jemputan itu ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Ikon dan Persatuan Seni Budaya Tanah Air di kediaman Najib di Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu lalu.

"Perdana Menteri menjadi individu pertama yang dijemput ke majlis perkahwinan saya pada bulan Jun nanti dan saya benar-benar berharap beliau akan hadir.

"Kebetulan kad jemputan itu baru siap dan semasa hadir ke majlis itu saya mengambil peluang itu untuk menjemput beliau ke majlis perkahwinan saya nanti.

"Bagaimanapun saya memahami jika beliau tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugas hariannya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Beego dan artis Linda Hashim merancang untuk bernikah pada 6 Jun depan manakala majlis resepsi pula akan diadakan di ibu negara dua hari kemudian.

Kedua-dua pasangan itu telah bertunang pada 3 November 2012.

Beego yang merupakan seorang duda sebelum ini pernah berkahwin dengan Intan Shahira Mohd Shahru pada 28 Disember 2007 tetapi rumah tangga mereka itu hanya mampu bertahan kira-kira 10 hari sahaja.

Menurut Beego, tindakannya menyerahkan kad jemputan perkahwinannya kepada Najib berlaku secara spontan dan dia tidak berasa gementar untuk bertentang empat mata dengan beliau.

Malah Beego turut memuji keperibadian Najib yang mudah didekati.

Sementara itu mengenai persiapan perkahwinannya kata Beego, banyak perkara berjaya diuruskan namun hanya tinggal beberapa urusan kecil yang perlu dilakukan kira-kira dua atau tiga hari sebelum majlis berlangsung.

"Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar dan tiada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Tambah Beego, dia telah bersedia untuk menempuh alam perkahwinan buat kali kedua bersama Linda dan berharap perkahwinan itu nanti akan kekal sehingga akhir hayat mereka.

"Tiada apa yang saya harapkan selain ia kekal dan sebagai lelaki saya mahu menjadi lebih bertanggungjawab dan menjaga keharmonian rumah tangga," jelasnya.

Dalam perkembangan lain Beego masih sibuk menyelesaikan beberapa projek lakonan yang telah diterimanya sebelum bercuti untuk berkahwin.mstar