Koleksi Sensasi

Tentera Amerika, Filipina Mulakan Latihan 12 Hari


Manila: Beribu-ribu tentera Amerika Syarikat dan Filipina semalam memulakan latihan ketenteraan tahunan yang dikatakan Filipina adalah penting untuk membina keupayaan pertahanan untuk berdepan ancaman yang kian meningkat dari China.
Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario menggunakan pelancaran pergerakan Balikatan 12 hari itu bagi menuduh China menjadikan Asia tidak stabil dengan tindakan agresif dan haram di Laut China Selatan. “Demi tuntutan wilayah dan ketenteraan di rantau ini, ia bukan saja mencetuskan ketidakpastian tetapi mengetepikan undang-undang,” kata del Rosario dalam satu ucapan di ibu pejabat tentera negara itu di Manila. “Keamanan dan kestabilan serantau dipertaruhkan,” katanya.

Del Rosario kemudian berkata, dia merujuk secara khusus kepada China. China menuntut kebanyakan wilayah di Laut China Selatan termasuk perairan dan singkapan batuan kecil dekat pantai di negara jiran seperti Filipina.

Ketegangan kian meningkat sejak beberapa tahun lalu apabila China cuba menonjolkan kekuasaannya di rantau itu. Filipina menuduh China menakluki kawasan beting berdekatan pulau utamanya dan merayu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar menentukan kesahihan tuntutan China di perairan yang kaya dengan sumber semula jadi itu. Dan bulan lalu tentera laut China mula meronda perairan yang menjadi rebutan itu, menghantar kapal ke jarak kira-kira 80 kilometer di perairan pantai Malaysia dan pada satu ketika, melepaskan “tembakan meriam sebagai tanda amaran” ke arah bot rakyat Vietnam. - Philippines Inquirer
gambar hiasan