Koleksi Sensasi

Budak Tertinggal Dalam Trak Maut


Bangkok: Seorang murid tadika berusia tiga tahun maut selepas dibiarkan dalam trak pikap lebih tujuh jam di Si Sa Ket semalam.

Pegawai bertugas di balai polis Uthumphon Phisai, Leftenan Kolonel Tinakorn Dechalertpong berkata, kanak-kanak itu dikenali sebagai Suriyakarn “Potter” Pakan.

Ibu mangsa, Thanyathon Boonma, 27, memberitahu polis bahawa trak pikap itu yang dimiliki guru sekolah mangsa tiba di luar kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi untuk menjemput anak lelakinya itu. Kemudian kenderaan berkenaan tiba di sekolah pada jam 8 pagi. Potter yang tertidur ditinggalkan di tempat duduk belakang. Thanyathon berkata, anaknya ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan terbabit kira-kira jam 3 petang. Tubuhnya sudah berubah lebam kebiruan dan butang bajunya turut terbuka. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Uthumphon Phisai tetapi gagal diselamatkan.

Mayatnya kemudian dipindahkan ke Hospital Si Sa Ket untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya. Thanyathon berkata, pemilik sekolah memberitahunya akan bertanggungjawab terhadap kematian anaknya. Bulan lalu, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun mati selepas dibiarkan dalam van yang panas selama beberapa jam di luar tadika di Samut Prakan kerana pemilik kenderaan terlupa. - Bangkok Post