Koleksi Sensasi

Israel Beri Amaran Kepada Russia

BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon memberi petunjuk bahawa tentera negaranya bersedia untuk menyerang penghantaran senjata-senjata canggih Rusia kepada Syria.

Yaalon memberi amaran itu selepas seorang pegawai kanan Rusia menyatakan pentadbiran negaranya berhak untuk membekalkan Syria dengan sistem peluru berpandu pertahanan S-300.

Israel telah melobi Rusia untuk menghentikan jualan peluru berpandu itu kepada pentadbiran Presiden Bashar Al-Assad di Syria.

Rejim Zionis bimbang peluru berpandu itu akan jatuh ke tangan musuh-musuh Israel seperti kumpulan Hezbollah yang menjadi sekutu Bashar.

"Penghantaran itu masih belum dibuat. Saya berharap, Rusia tidak akan menghantar peluru berpandu itu," kata Yaalon.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada Mac 2011, Israel kerap menyuarakan kebimbangan bahawa senjata-senjata canggih Syria seperti senjata kimia akan dipindahkan rejim Bashar kepada Hezbollah.

Di Moscow, Timbalan Menteri Rusia, Sergei Ryabkov tidak menyatakan sama ada Rusia telah membuat penghantaran peluru berpandu itu.

Bagaimanapun, dia menyatakan, Moscow tidak akan menggugurkan hasrat penjualan senjata tersebut.

Lebih 70,000 orang telah terbunuh akibat peperangan saudara di Rusia.

Kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal membawa pembaharuan pentadbiran di negara itu. - Agensi