Koleksi Sensasi

Seorang Gadis Ditembak Bapa Sendiri


Seorang wanita Afghanistan ditembak mati oleh bapanya sendiri di depan 300 penduduk selepas dia dituduh memalukan keluarganya apabila melarikan diri daripada suaminya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Halima dan berusia antara 18 hingga 20 tahun mempunyai dua anak, menurut Amnesty International. Dia melarikan diri dengan sepupu lelaki ketika suaminya berada di Iran. Tetapi 10 hari kemudian suaminya memulangkan Halima kepada keluarganya di Kookchaheel di daerah Aabkamari di wilayah barat laut Badghis. Bapanya meminta nasihat orang tua di kampung itu dan tiga daripada mereka mengeluarkan fatwa mengarahkan Halima dibunuh di depan khalayak ramai.

Dia ditembak mati pada 22 April lalu. Tidak diketahui apa yang berlaku kepada sepupunya itu yang tidak dikenali identitinya.

Bapanya dan tiga lagi orang tua di kampung itu yang dikaitkan dengan Taliban sudah melarikan diri.

Penyelidik Amnesty International di Afghanistan Horia Mosadiq berkata, amalan yang sangat mengejutkan mengenai wanita menjadi bahan hukuman ganas, termasuk dibunuh di depan khalayak ramai atau secara rahsia perlu diakhiri.

“Pihak berkuasa Afghanistan perlu memastikan bahawa pesalah keganasan terhadap wanita diadili.

“Keganasan terhadap wanita terus menjadi wabak di Afghanistan dan mereka yang bertanggungjawab jarang sekali diadili. “Bukan saja wanita menghadapi keganasan daripada anggota keluarga atas alasan memelihara maruah, tetapi wanita sering berdepan penderaan hak kemanusiaan ekoran hukuman daripada sistem keadilan tradisional yang tidak rasmi. “Sistem ini perlu diperbaharui dan polis perlu mencegah hukuman seperti ini dijalankan,” katanya. Polis tempatan berkata, mereka masih menyiasat kes itu, tetapi tiada sesiapa yang mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu ditangkap setakat ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Bebas Afghanistan (AIHRC) merekodkan lebih 4,000 kes keganasan terhadap wanita dalam tempoh enam bulan lalu.