Koleksi Sensasi

Culik, Tiga Dipenjara Seumur Hidup

SHAH ALAM - Bekas pramugara syarikat penerbangan tempatan dan dua warga Nepal dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas disabitkan bersalah menculik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat keselamatan dengan meminta tebusan berupa 10 kilogram (kg) emas bernilai RM1.44 juta, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas pramugara, C. Rudhra dan dua rakannya, R. Roshan dan T. Ramesh selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Mereka bertiga juga memohon maaf kepada mangsa culik dan keluarga mangsa.

Abdul Alim ketika memutuskan hukuman itu berkata, hukuman yang dijatuhi ke atas tertuduh dikenakan sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang.

"Mahkamah turut berpuas hati tiada kecederaan dialami mangsa, malah wang tebusan yang diminta kesemua tertuduh berjaya dijumpai dan dikembalikan semula kepada keluarga mangsa," kata beliau.