Koleksi Sensasi

'Jangan Hina Penunggang Motosikal'

Cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi mewujudkan zon tanpa motosikal di kawasan bandar besar untuk membenteras jenayah terus mendapat tentangan dari kumpulan aktivis dan pemimpin politik.

Antaranya, naib ketua pemuda PAS Raja Ahmad Iskandar Yaacob yang berpendapatan "tindakan diskriminasi" tersebut akan menimbulkan lebih banyak masalah khususnya pada warga kota. 

“Polis tidak sepatutnya menyandarkan kegagalan mereka untuk membenteras jenayah di bahu penunggang motosikal, ini sangat tidak adil kepada kelompok itu.

“Mereka yang diberi tanggungjawab haruslah menangani masalah jenayah dengan kaedah yang lebih realistik serta rasional dan tidak menimbulkan bebanan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan. 

Selain itu, pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussian pula berkata, cadangan yang dikemukakan Khalid itu adalah tidak relevan untuk dipraktikkan. 

''Kerajaan tidak boleh menghadkan penggunaan motosikal di bandar besar sedangkan pelbagai urusan termasuk kerja seharian dibuat di bandar.

''Ia akan menyukarkan orang ramai terutama mereka yang sememangnya menaiki motosikal untuk melakukan tugas masing-masing,'' katanya.

Hina rakyat Malaysia

Turut menyuarakan tentangan adalah NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menyifatkan langkah tersebut sebagai penghinaan terhadap rakyat Malaysia khususnya golongan sederhana dan tidak berkemampuan. 

Seorang penyelaras SAMM Yaser Sheikh Abdul Rahman dalam kenyataannya berkata cadangan tersebut lebih sebagai usaha untuk menutupi kegagalan polis dalam membendung jenayah dengan melahirkan cadangan yang drastik itu. 

"SAMM sebagai penggerak anak muda yang rata-ratanya terdiri daripada penunggang motosikal menolak cadangan 'bongkak' ketua polis negara dan menyifatkan ia sebagai cadangan 'bebal' yang prejudis terhadap penunggang motosikal.

"Sedarkah wahai Khalid bahawa rakyat Malaysia memilih untuk menunggang motosikal kerana tidak mampu di atas kekangan ekonomi dan kos kehidupan yang jauh meningkat berbanding jumlah pendapatan.

"Kerana kesempitan hidup, motosikal menjadi pilihan walaupun statistik menunjukkan risiko kemalangan yang tinggi. 

"Tidakkah pihak polis membuat kajian terlebih dahulu apakah cadangan ini memberi kesan terhadap penambahan jurang antara golongan elitis dan golongan sederhana miskin?," katanya.

Khalid menyatakan cadangan berkenaan dalam satu wawancara dengan Astro Awani, yang disiarkan akhir bulan lalu..
Gambar hiasan***