Koleksi Sensasi

Kasino Mini Pusat Servis Kenderaan


Maran: Di bahagian luar terpampang papan tanda Pusat Servis Kenderaan, tetapi hakikatnya sebuah premis di Jalan Chendor Baru 2, dekat sini, sebenarnya adalah kasino mini yang menyediakan pelbagai bentuk perjudian.

Kegiatan yang dipercayai bermula sejak tiga bulan lalu itu bagaimanapun berjaya dikesan polis selepas serbuan jam 5.30 petang kelmarin sekali gus merungkai persoalan sering diajukan orang ramai yang hairan melihat pintu depan premis itu tidak pernah dibuka dan pengunjung hanya masuk melalui tirai besar yang dijadikan penutup pintu utama.

Sumber polis berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan haram berkenaan.

“Polis membuat intipan setengah jam sebelum menyerbu. Dalam serbuan itu, lapan kaki judi berusia 20 hingga 25 tahun serta seorang penjaga premis itu ditahan.

“Polis turut merampas 24 komputer dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian serta wang tunai RM1,300. Siasatan awal mendapati premis terbabit mula beroperasi jam 9 pagi hingga lewat malam,” katanya.

Sumber itu berkata, kesemua barang rampasan termasuk individu ditahan dibawa ke Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut.