Koleksi Sensasi

Tak Sanggup Lihat Cucu Derita


ALOR SETAR - Kasih ibu membawa ke syurga. Nor Suriati Puteh, 35, sanggup mengambil cuti tanpa gaji bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap penjagaan anak sulungnya, Muhammad Shahrul Amin Shaharin, 12, dipercayai menghidap penyakit kanser Burkitt Lymphoma.

Nenek Shahrul, Besah Sabtu, 50, berkata, cucunya itu memerlukan penjagaan rapi ahli keluarganya berikutan penyakit dialaminya menyebabkannya lemah sehingga memerlukan bantuan untuk bergerak.

“Lebih menyedihkan kami, bukan sahaja Shahrul alami pelbagai kesakitan termasuk sakit kepala teramat, malah baru-baru ini matanya kian kelabu hingga kadang-kala sukar melihat sesuatu dengan jelas.

“Keadaan dirinya tak menentu, kadang nampak baik, namun boleh jadi tiba-tiba tidak sihat. Dia juga sering mengerang dan menangis kesakitan membuatkan hati berasa tidak tenang. Betullah kata pepatah, Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya,” katanya.
Besah Sabtu
Katanya, perbelanjaan menampung kos kesihatan Shahrul setiap bulan agak besar, iaitu bagi makanan dan pengangkutan sehingga mereka terpaksa menggadaikan hak milik berharga seperti barangan kemas.

Menurutnya, perbelanjaan Shahrul boleh mencecah sehingga kira-kira RM3,000 sebulan bergantung kepada tahap kesihatannya, bagaimanapun mereka kurang berkemampuan, ditambah mempunyai banyak tanggungan lain.

“Makcik, memang dah tak sanggup lihat Shahrul derita macam ni, kalau boleh harap dia dapat sihat semula dan jalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Kalau boleh segala dugaan dialaminya cepat selesai,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penyakit adik Shahrul menyebabkannya terpaksa menghabiskan masa terbaring di katil dan di hospital.

Shahrul dikesan menghidapi penyakit berkenaan selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat sini, berikutan keadaannya yang sering mengalami sakit kepala dan hidung berdarah.

Susulan penyakit dihidapinya itu, tubuh badannya lemah, malahan lidah Shahrul memutih dipenuhi ulser, keguguran rambut dan mengalami kencing serta hidung berdarah.

Orang ramai ingin menyalurkan bantuan kepada Adik Shahrul boleh berbuat demikian melalui sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik ibunya, Nor Suriati Puteh (02109-29-00010131-4 ) ataupun menghubunginya di talian 012-4401253.