Koleksi Sensasi

Tragedi Lemas Tiga Beradik

Pasir Mas: “Sebaik dimaklumkan jiran mereka (tiga beradik) mandi sungai, saya sudah memintanya mengarahkan anak saya pulang kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Tetapi ketiga-tiga mereka dipercayai kembali ke sungai berkenaan dengan memberi alasan tertinggal baju sebelum dipercayai mandi semula sebelum lemas,” kata Nor Asikin Abdul Rahman, 41, yang kehilangan tiga anak serentak dalam kejadian di Sungai Golok di Kampung Rahmat Hilir, Rantau Panjang di sini, semalam.

Menurutnya, jiran ada memaklumkan anaknya sudah pulang ke rumah selepas diarahkan berbuat demikian tapi kemudian dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang saudara memberitahu ketiga-tiga mereka hilang di sungai.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus pulang dan sempat melihat ramai penduduk di tempat kejadian. Saya ketika itu cuma berharap mereka (anak) dapat ditemui saja.

“Ketika menerima berita itu saya hanya mampu memohon kepada Allah supaya Adik (Muhammad Syahmi), ‘Baby’ (Muhammad Irfan Rahman) dan abang (Muhammad Zulhilmi) ditemui segera.