Koleksi Sensasi

AG Putuskan Tiada Tindakan Lanjut Terhadap Zul Noordin

Peguam Negara mengkelaskan kes Datuk Zulkifli Noordin yang didakwa menghina agama Hindu sebagai 'tiada tindakan lanjut' (NFA) selepas polis memajukan hasil siasatan kes itu kepada mereka, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Semua laporan yang kami terima, siasatan secukupnya telah dibuat.

"Kertas siasatan kes kemudiannya kami kemukakan kepada pihak peguam negara untuk arahan selanjutnya.

NONE"Jadi dalam kes Datuk Zulkifli Noordin, peguam negara dah arah
hentikan siasatan, no further action," katanya dalam sidang media selepas majlis berbuka puasa Polis Diraja Malaysia dan menteri dalam negeri malam tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan berkenaan status kes bekas calon BN Shah Alam itu dan gesaan membakar Bible oleh Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.

Dalam ucapan kontroversi itu, didakwa dibuat 10 tahun lalu, Zulkifli kelihatan seperti menyampaikan ceramah agama di surau dan menceritakan perbualannya dengan seorang penjual berhala Hindu berhampiran di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.

Merujuk kepada kes Ibrahim Ali pula, Khalid menjelaskan yang kertas siasatan juga telah dimajukan kepada peguam negara tetapi sehingga kini peguam negara masih belum mengeluarkan arahan lanjut tentang kes itu.

Kes Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin kembali mencuri perhatian memandangkan timbulnya pendangan yang mempersoalkan layanan berbeza ke atas mereka berbanding pasangan Alvin-Vivian, yang didakwa mempersenda Islam melalui bahan yang dimuatkan di Internet.