Koleksi Sensasi

Alyah Mahu Jumpa Wartawan Untuk Pulih Hubungan

Penyanyi Alyah berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wartawan hiburan di negara ini selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bagi menjelaskan salah faham kononnya dia mahu ‘gam’ pihak media.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, pertemuan itu dijangka akan diaturkan kira-kira dua minggu selepas Syawal.

“Saya sudah merancang untuk bertemu dengan wartawan agar masalah kononnya saya hendak gam media dapat diselesaikan. Dengan cara itu saya fikir dapat juga mengeratkan hubungan antara saya dengan pihak media,” katanya.

Alyah ditemui pada majlis agihan bubur lambuk untuk berbuka puasa kepada pemilik kenderaan yang melalui Jalan Putra di sini, Rabu.

Terdahulu kontroversi Alyah dengan media tercetus apabila penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu dikatakan mahu gam sebuah akhbar selepas tidak berpuas hati dengan laporan akhbar terbabit kerana melaporkan berita kononnya dia sedang menunggu lamaran konduktor muzik, Datuk Ramli MS.

Dalam pada itu Alyah berkata, jalan terbaik untuk dia lakukan ialah meminta maaf dengan semua pihak media yang selama ini banyak membantu menaikkan kerjaya seninya.

Dia juga seboleh-boleh enggan hubungannya dengan rakan-rakan watawan hiburan menjadi keruh walaupun kadang kala ada laporan yang ditulis itu mungkin mengguris hatinya.