Koleksi Sensasi

Bayi Ini Ada Ekor

SEORANG bayi lelaki dilahirkan di Guangdong, selatan China, tujuh bulan lalu, menghidapi sejenis penyakit pelik menyebabkan bahagian punggungnya seperti ditumbuhi ekor.

Doktor mengesahkan, Xiao Wei menghidapi spina bifida sewaktu dilahirkan membabitkan gangguan perkembangan kongenital disebabkan ketidaksempurnaan tiub neural embrio.

"Ibu bayi ini pernah meminta kumpulan pakar membuang lebihan isi pada bahagian belakang bayinya tetapi ia amat sukar untuk dilakukan kerana membabitkan sistem tulang belakang dan otak pesakit.

"Malah jika kita membuang bahagian ekor itu, ia akan tumbuh semula. Sebelum itu, pakar perlu membaiki masalah saraf tunjang bayi ini bagi menghentikan pertumbuhan ekornya," kata pakar bedah, Huang Chuanping dalam laporan MailOnline.

Jelas Huang, kecacatan berlaku sejak dari dalam kandungan melibatkan pertumbuhan struktur dipanggil tiub neural yang pada akhirnya membentuk tulang belakang dan sistem sarafnya.

"Tetapi bagi kes spina bifida ini, pertumbuhan tulang belakang iaitu tulang yang melindungi sistem saraf tidak berlaku dengan sempurna.

"Sehingga kini, punca kejadian masih belum diketahui tetapi pakar terdahulu meramalkan faktor utama menyumbang kejadian spina bifida ini adalah kekurangan asid folik sebelum dan pada awal kandungan," katanya.