Koleksi Sensasi

Buaya Pupus Kerana Makan Kodok Beracun

SYDNEY - Spesies kodok tebu kini mengancam populasi buaya pigmi di Australia, kata sepasukan penyelidik.



Kehadiran haiwan beracun itu dibimbangi boleh menyebabkan spesies buaya unik itu pupus pada masa akan datang.

Pasukan penyelidik Universiti Charles Darwin memberitahu, keadaan itu berlaku ekoran buaya pigmi memakan kodok tebu kerana kekurangan sumber makanan lain.

Ketua penyelidik berkenaan, Adam Britton berkata, terdapat 28 ekor buaya pigmi di kawasan kajian berkenaan di Victoria dan Bullo, dalam Wilayah Utara, sebelum kedatangan kodok tebu.

Namun, angka itu menurun kepada 10 ekor selepas pencerobohan habitat berlaku.

"Sejumlah bangkai buaya mati dan penemuan kodok tebu di dalam perut haiwan itu membuktikan reptilia itu pupus disebabkan kehadiran kodok tebu," menurut keputusan kajian.

Buaya pigmi boleh membesar sepanjang 1.7 meter atau 0.7 meter untuk buaya betina iaitu separuh saiz buaya air tawar lain.

Kodok tebu mempunyai kantung racun di kepalanya yang boleh membunuh buaya dan ular. Spesies amfibia itu dibawa ke Australia dari Hawaii untuk mengawal populasi kumbang perosak pada 1930.

Namun, kodok tebu membiak dengan cepat dengan ia pula dianggap sebagai makhluk perosak.

Dijalankan dari 2007 hingga 2008, kajian tersebut disiarkan dalam edisi terbaharu jurnal saintifik, Wildlife Research. - AFP