Koleksi Sensasi

Gantung Semua Yang Terlibat

KUALA LUMPUR - Khairy Jamaluddin dalam nada tegas menyarankan semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan digantung serta merta ekoran kesalahan membawa masuk minuman keras dalam perkampungan Sukan Malaysia XVI, Rabu lalu.

Tegas Menteri Belia dan Sukan, walaupun kes rogol melibatkan tiga atlet pasukan itu masih dalam siasatan polis, namun mereka terbukti didapati bersalah kerana melanggar disiplin Sukan Malaysia dengan membawa masuk minuman keras.

"Kerana atlet ini berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), saya telah meminta Datuk Seri Zolkples (Embong), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) supaya mengambil tindakan awal.

"Saya cadangkan kepada MSWP supaya bukan saja tiga atlet terlibat digantung, malah semua anggota pasukan yang lain, pegawai dan jurulatih yang terlibat turut digantung.

"Saya juga sarankan Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), saudara Pandak (Ahmad) supaya melakukan perkara yang sama, iaitu gantung semua mereka yang terlibat dalam kes ini dan harap tindakan dapat diambil dengan cepat.

"MSWP dan persatuan berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebab itu kita boleh sarankan mereka mengambil tindakan ini.

"Kita kena ingat, rogol dan melanggar disiplin adalah dua perkara berbeza di sini. Dalam kes jenayah, ia di bawah bidang kuasa pihak polis, jadi kita serahkan semuanya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Tetapi dalam kes membawa masuk minuman keras, ia adalah di bawah kuasa MSN dan KBS, jadi kita boleh menyarankan majlis sukan dan persatuan untuk mengambil tindakan. Surat rasmi akan dikeluarkan esok, ini cadangan kami," kata Khairy kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir acara ragbi Sukan Malaysia XVI, semalam.

Akhbar tempatan kelmarin melaporkan seorang pegawai pengiring membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lalu.

Jelas Khairy, sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, beliau merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian itu telah mencacatkan temasya yang berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pihak penganjur telah mengambil langkah keselamatan yang paling ketat dan mengikut prosedur yang sepatutnya, namun kejadian yang berlaku dalam kawasan asrama penginapan atlet adalah di bawah tanggungjawab kontinjen sendiri.

"Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu. Jawatankuasa Pengelola sememangnya mengadakan kawalan yang begitu ketat di tempat penginapan

"Kerjasama daripada pihak PDRM digunakan untuk menjaga aspek ini manakala Unit Keselamatan UPM juga turut digunakan. Prosedur penempatan adalah mengikut prosedur UPM sendiri dan mereka amat ketat dalam mengawal penempatan terutama dalam memisahkan blok asrama lelaki dan wanita," katanya lagi.

Kata Khairy, tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan disiplin kontinjen pada setiap masa terutamanya di blok-blok penginapan dalam kawasan asrama adalah di bawah pengawasan kontinjen negeri masing-masing.

Jelasnya, setiap pasukan mempunyai pegawai terdiri daripada pengurus, penolong pengurus, pegawai pengiring, jurulatih dan sebagainya, justeru mereka ini harus bertanggungjawab penuh terhadap anggota mereka, termasuk hal-hal keselamatan.

"Tindakan tegas ini harus menjadi mesej yang jelas kepada semua pegawai, jurulatih dan pengurus supaya lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

"Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid (Abu Bakar) bahawa beliau akan mempercepatkan siasatan kes ini, ketiga-tiga suspek sudah ditahan reman.

"Saya juga telah mengarahkan MSN untuk membuat satu post-mortem dengan segera supaya kejadian-kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang," katanya.