Koleksi Sensasi

'Jangan Sampai Penjenayah Pergi Rumah MP'

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar MP Pakatan Rakyat menyokong usaha menggantikan Ordinan Darurat dengan undang-undang baru untuk mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa penjenayah.

Usaha itu juga untuk mengelakkan para MP berkenaan turut menjadi mangsa penjenayah terbabit, katanya ketika menjawab satu soalan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Jangan sampai penjenayah yang buta warna (politik) ini pergi rumah Shah Alam (Khalid Samad) dan Gombak (Azmin Ali),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas “realiti” mengenai kejadian jenayah pada waktu ini, yang dibangkitkan Azmin.

Azmin ketika mengemukakan soalan sebelum itu turut membangkitkan mengenai kes rompakan melibatkan kediaman seorang menteri kabinet, Khairy Jamaluddin, pada akhir bulan lalu.

Kejadian itu menyebabkan Khairy tampil dengan kenyataan bahawa kejadian jenayah bukan satu persepsi tapi satu masalah yang nyata.

Mengulas isu yang dibangkitkan Azmin itu, Ahmad Zahid berkata atas alasan itulah beliau meminta semua ahli Dewan menyokong usaha kerajaan untuk menggantikan Ordinan Darurat dengan akta baru.

"EO telah dibatalkan tapi kita mahu EO diganti dengan akta lain. Kita minta persetujuan semua sebab dari segi penangkapan yang berlaku sekarang ini, penjenayah yang ditangkap ialah bekas penjenayah yang dilepaskan oleh EO. Ini realiti," kata Zahid. 

Khalid Samad pula, yang disebut oleh Zahid dalam ucapan berkenaan turut bangun dan mendakwa kata-kata itu merupakan satu ugutan kepada para MP Pakatan.

Zahid Hamid pada 4 Julai lalu menyatakan bahawa kementeriannya sedang merangka draf undang-undang baru bagi menggantikan EO.

Beliau berkata demikian bagi menyokong kenyataan pasukan polis sebelum itu, yang mengaitkan peningkatan kadar jenayah berat dengan pembebasan lebih 2,600 tahanan bawah EO selepas undang-undang tersebut dimansuhkan pada 2011.

Bagaimanapun, cadangan untuk  meuwujdkan akta baru bagi menggantikan EO mendapat tentangan antaranya dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta parti pembangkang.