Koleksi Sensasi

Penyokong Dan Puak Anti-Morsi Adakan Bantahan di Jalanan


KAHERAH - Beribu-ribu penyokong pergerakan persaudaraan Islam, Ikhwanul Muslimin mengadakan tunjuk perasaan semalam sebagai membantah tindakan tentera menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi setahun lalu, Mohammed Morsi.

Gesaan untuk protes aman di seluruh Mesir itu dibuat oleh pihak Pakatan Nasional untuk Menyokong Kebenaran yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

Morsi yang tidak dilihat sejak Rabu lalu dikatakan telah mengeluarkan bantahan menerusi satu ucapan yang direkodkan beberapa jam sebelum beliau digulingkan.

Perhimpunan beribu-ribu penyokong Morsi di masjid Rabaa al-Adawiya itu mencetuskan kebimbangan keganasan baharu mungkin akan berlaku.

Dalam perkembangan sama, kumpulan liberal menggesa golongan anti-Morsi supaya membanjiri jalan raya sebagai tindakan balas terhadap protes yang dilakukan oleh penyokong Morsi.

Barisan Penyelamat Nasional yang membenarkan tindakan tentera menggulingkan Morsi menyatakan rakyat Mesir mesti melindungi 'Revolusi 30 Jun' yang menyaksikan bantahan besar-besaran diadakan.

Ketua Tentera, General Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan penggulingan Morsi pada malam Rabu berikutan kegagalannya menamatkan krisis politik yang kian meruncing.

Polis tentera turut menahan pimpinan tertinggi Ikhwanul Muslimin, Mohammed Badie dan Mahdi Akef. Morsi pula dikatakan ditahan di lokasi tidak diketahui.

Sumber perundangan memberitahu, pihak pendakwaan akan mula menyoal siasat Morsi dan ahli Ikhwanul Muslimin atas dakwaan menghina perlembaaan. Seramai 25 orang dilarang daripada ke luar negara.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyatakan bahawa beliau benar-benar bimbang dengan perkembangan terkini di Mesir. Obama bagaimanapun enggan menyifatkan campur tangan tentera itu sebagai satu bentuk rampasan kuasa.

Sementara itu, Kesatuan Afika (AU) semalam mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Mesir dalam AU. Ketua Suruhanjaya AU, Nkosazana Dlamini-Zuma memberitahu penggulingan Morsi melibatkan perubahan kerajaan.

Maka, Mesir akan dihalang daripada menyertai sebarang aktiviti AU sehinggalah kerajaan sebenar ditubuhkan. - Agensi